Tidak Sampai Satu Jam, Tiket Aksi Sabah Lawan JDT Habis Dijual

Peminat Sabah FC, Effmawie Mohd Efendi, 31, menunjukkan kod QR tiket perlawanan Liga Super. – Gambar Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Biarpun hanya dijual secara dalam talian, tiket perlawanan antara Sabah Football Club (FC) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Likas, malam esok, laris seperti pisang goreng apabila kesemua tiket habis dijual, hari ini.

Hanya 2,957 tiket perlawanan yang dijual untuk perlawanan itu namun ianya habis dijual tidak sampai sejam selepas penjualan mula dibuat di laman web tickethotline.com.my pada jam 1 tengah hari ini.

Sebanyak empat kawasan tempat duduk disediakan pihak Sabah FC untuk penyokong yang sudah membeli tiket perlawanan iaitu di Zon A, B, C serta D.

Tiket bagi kawasan tempat duduk Zon A dan D dijual dengan harga RM22.66 manakala bagi kawasan tempat duduk Zon B dan C berharga RM28.84.

Beberapa peraturan juga ditetapkan kepada penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan esok termasuk perlu berada di dalam kawasan stadium sebelum 7.45 malam.

Selain itu, penyokong juga perlu menjaga jarak fizikal 1.5 meter antara mereka serta tidak dibenarkan ke tandas ketika masa rehat perlawanan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *