Perlu Ada Pendirian, Jangan Terpedaya Dengan Tawaran – Shafie

Setiap pemimpin perlu ada pendirian teguh dalam memastikan kesetiaan dan perjuangan kepada parti demi mandat rakyat.

KOTA KINABALU: Setiap pemimpin perlu ada pendirian teguh dalam memastikan kesetiaan dan perjuangan kepada parti demi mandat rakyat.

Menurut Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, perkara itu penting memandangkan rakyat telah meletakkan harapan kepada wakil rakyat untuk memperjuangkan dan membawa perubahan pentadbiran negara sedia ada.

Beliau turut menegaskan, setiap wakil rakyat yang dipilih pada pilihan raya umum dan negeri diingatkan tidak hanyut dengan sebarang jawatan serta pangkat ditawarkan.

“Ada sesetengah-sesetengah pihak kata ambil (jawatan) Ketua Menteri tetapi jawatan itu bukan perhitungan dalam dunia politik.

“(Sebaliknya) apa sebenarnya kehendak rakyat kepada kita, bukan Ketua Menteri. Rakyat di Sabah ini mahu hak mereka seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sehubungan itu, kita tidak mahu menghampakan kehendak rakyat,” katanya dalam sesi bicara di Facebook yang dikoordinasikan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kubang Rotan; Asmirul Anuar Aris malam Ahad.

Mohd Shafie terdahulu mengulas kenyataan itu ketika menjawab sama ada kewajaran berlakunya blok campuran parti politik di antara PH, Warisan mahupun BN di masa hadapan.

Menurutnya, politik masa kini dilihat berubah yang mana kawan boleh bekerjasama dengan musuh.

Namun katanya, apa yang penting adalah memastikan prinsip dan perjuangan parti itu kekal.

Untuk rekod, Kerajaan Warisan mentadbir kerajaan negeri selama dua tahun sebelum tewas kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16).- AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *