Warisan Mungkin Bertanding Di Semenanjung Pada PRU15

Disember lalu, Presiden Warisan Shafie Apdal berkata, parti itu akan berkembang ke seluruh Malaysia.

KOTA KINABALU: Warisan berkemungkinan akan bertanding di Malaysia Barat pada pilihan raya umum akan datang.

Jaujan Sambakong, salah seorang daripada tiga naib presiden Warisan, berkata partinya boleh bertanding di Semenanjung kerana Warisan telah mengesahkan cadangan untuk melebarkan sayapnya merentas Laut China Selatan pada mesyuarat agung tahunannya tahun lalu.

Tanpa menyatakan siapa yang dimaksudkan, bekas timbalan ketua menteri Sabah itu juga mendakwa, ada wakil rakyat dari Semenanjung telah menyatakan niat mereka untuk menyertai Warisan.

Kata beliau, masih belum ada tarikh rasmi ditetapkan berkenaan langkah ini, tetapi niat mereka jelas.

“Kenapa tidak (bertanding di Semenanjung) jika ada kesempatan? Hakikatnya adalah kami ingin mengambil bahagian dalam pilihan raya, bukan hanya di Sabah tetapi juga di negeri-negeri di Semenanjung,” kata beliau kepada FMT.

Jaujan, yang juga ADUN Sulabayan, berkata usaha sedang dilakukan untuk mengenal pasti kawasan sesuai untuk ditandingi dan juga calon berpotensi.

“Setakat ini, kami aktif di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur, di mana kami melihat parti diterima dengan baik dalam kalangan pemimpin dan rakyat. Kebetulan sahaja ramai orang Sabah di lokasi-lokasi ini,” kata beliau.

Tetapi, kata Jaujan, Warisan tidak hanya menyasarkan lokasi-lokasi di mana terdapat ramai orang Sabah.

“Tak mustahil kami juga boleh bertapak di Kelantan, Pahang, Terengganu, dan Kedah, jika ada permintaan,” kata beliau.

Disember lalu, Presiden Warisan Shafie Apdal berkata, parti itu akan berkembang ke seluruh Malaysia, sambil menambah, perlembagaan parti tidak menghalangnya berbuat sedemikian.

Bekas ketua menteri itu berkata, parti itu akan mula menubuhkan bahagian dan cawangannya di Johor dan Selangor, di mana terdapat ramai penduduk Sabah.

Junz Wong.

Sementara itu, seorang lagi naib presiden Warisan, Junz Wong, berkata masih terlalu awal untuk membincangkan wakil rakyat mana yang akan menyertai parti itu.

“Kita ke sana dulu, baru lah boleh berbincang (tentang hal ini),” kata beliau.

“Tetapi kami sedang melihat-lihat negeri untuk kami bertanding; kami hanya perlu menyelesaikan beberapa perkara. Agenda kami sudah ada – kami terbuka untuk semua rakyat Malaysia, sesiapa pun yang mendukung perjuangan ‘Perpaduan’ kami.

“Apa-apa pun boleh berlaku dalam politik tetapi kami mungkin akan mengembangkan sayap ke sana demi kepentingan rakyat Sabah dan Malaysia secara umum,” kata Wong, yang juga ADUN Tanjung Aru. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *