Sabah FC Mahu Kutip Tiga Mata Di Cheras Malam Ini

Sesi  latihan pasukan Sabah sebelum perlawanan bertemu Kuala Lumpur, malam ini.- Gambar FacebookSabah FC

KOTA KINABALU: Ketua jurulatih Sabah Football Club (FC), Kurniawan Dwi Yulianto berharap pasukan itu akan meneruskan momentum kemenangan mereka apabila bertemu Kuala Lumpur City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, di Cheras, malam ini.

Katanya, selepas kemenangan 2-1 terhadap Terengganu FC (TFC) di Stadium Likas, tempoh hari, selain dua lagi keputusan positif dalam aksi persahabatan, minggu lalu, skuad Badak kini semakin bersemangat untuk terus memburu mata.

“Semua perlawanan adalah penting kerana ketika ini Sabah FC hanya mengutip empat mata iaitu seri 1-1 menentang Melaka United FC dan menewaskan Terengganu FC 2-1 di Stadium Likas.

“Kita berharap momentum yang sudah kita bina ketika pertemuan dengan TFC dapat diteruskan dan saya juga melihat pemain sangat bersemangat untuk menghadapi perlawanan malam ini.

“Pasukan sudah bersiap sedia dan diharapkan semua yang dirancang akan dapat dilaksanakan dengan baik semasa perlawanan sebenar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Kurniawan mengingatkan barisan pemain supaya tidak memandang mudah pertemuan dengan Kuala Lumpur City FC dan mahu mereka bermain bermati-matian sehingga mencapai kemenangan.

“Semua tahu Kuala Lumpur City FC adalah pasukan yang kuat dan seringkali saya tekankan kepada pemain bahawa jangan pernah menganggap salah satu pasukan lebih kuat dan salah satu pula lebih lemah kerana bagi kami setiap game adalah ‘final’.

“Kita mahu pemain fokus 100 peratus dan bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi aksi malam ini,” katanya.

Sabah FC kini berada di tangga ke-10 Liga Super selepas hanya mengutip empat mata daripada lima perlawanan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *