Covid-19: Tujuh Kluster Baharu Dikesan, Dua Di Sabah

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti tujuh kluster baharu di Sarawak, Johor, Melaka, Pahang, Sabah dan Negeri Sembilan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu pertama dikenal pasti adalah Kluster Kampung Binyu dilaporkan di Kuching, Bintulu, Samarahan dan Simunjan, Sarawak, yang dikesan melalui saringan individu bergejala membabitkan sebuah majlis perkahwinan yang berlangsung di Kampung Binyu pada 21 Mac lalu dengan 68 kes dikesan positif.

“Kluster kedua dikenal pasti adalah Kluster Jalan Merdeka yang dilaporkan di Johor Bahru, Johor, hasil saringan individu bergejala membabitkan 29 kes dikesan positif dalam kluster ini.

“Kluster ketiga dikenal pasti adalah Kluster Simpang Tiga Merotai yang dilaporkan di Kalabakan dan Tawau, Sabah, hasil saringan individu bergejala membabitkan penduduk di Kampung Simpang Tiga Merotai, Kalabakan dengan 10 kes dikesan positif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, satu lagi kluster dikenal pasti adalah Kluster Jalan Kenanga yang dilaporkan di Alor Gajah, Melaka, hasil saringan individu bergejala dengan 11 kes dikesan positif.

“Kluster kelima yang dikesan adalah Kluster Jalan Bandar Sembilan yang dilaporkan di Petaling, Selangor, hasil saringan bersasar membabitkan pekerja sebuah kilang di Taman Perindustrian Puchong dengan 21 kes dikesan positif.

“Satu lagi kluster dikenal pasti adalah Kluster Teknologi Peramu Jaya yang dilaporkan di Kuantan dan Pekan, Pahang, hasil saringan individu bergejala membabitkan sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Peramu Jaya, Pekan dengan 36 kes dikesan positif,” katanya.

“Kluster terakhir dikenal pasti adalah Kluster Jalan Kubuto Sentral yang dilaporkan di Tawau, Sabah, hasil saringan individu bergejala membabitkan pekerja sebuah pusat perniagaan di Jalan Kubuto Sentral dengan sembilan kes dikesan positif,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 1,395 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 1,038 kluster dilaporkan tamat, setakat hari ini.

“Terdapat 13 kluster dilaporkan tamat hari ini termasuk Kluster Merotai Besar dan Kluster Jengka Tujuh menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 357 kluster.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 58 kluster melaporkan pertambahan kes, hari ini. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Jalan Pelabuhan (486 kes), Kluster Kampung Binyu (61) dan Kluster Bukit Serdang (19 kes),” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *