6,954 Saman Kerana Ekzos Bising

Polis mengeluarkan 71,127 saman terhadap pelbagai kesalahan menerusi Operasi Khas Ubahsuai Ekzos (bunyi bising) bagi tempoh 1 hingga 31 Mac lalu. – Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Polis mengeluarkan 71,127 saman terhadap pelbagai kesalahan menerusi Operasi Khas Ubahsuai Ekzos (bunyi bising) bagi tempoh 1 hingga 31 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata daripada keseluruhan saman dikeluarkan, kesalahan ubah suai ekzos menyumbang sebanyak 6,954 saman.

Katanya, jumlah itu merangkumi 4,926 saman bagi motosikal, 1,627 saman bagi kereta dan 401 bagi lain-lain kenderaan.

“Dalam pada itu, sebanyak 2,696 motosikal, 66 kereta dan 19 lain-lain kenderaan disita untuk pemeriksaan lanjut.

“Kenderaan akan diserahkan semula selepas kenderaan yang diubahsuai ekzos dikembalikan kepada spesifikasi asal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azisman berkata, sebanyak 157,992 kenderaan keseluruhan diperiksa membabitkan 76,315 motosikal, 52,059 kereta dan 29,618 lain-lain kenderaan di 3,478 lokasi operasi di seluruh negara.

“Operasi dilancarkan bertujuan menguatkuasakan undang-undang kepada pengguna jalan raya terutama pemilik serta penunggang motosikal yang melakukan ubahsuai ekzos sehingga mendatangkan bunyi bising.

“Kita akan melakukan operasi ini secara berterusan di samping operasi lain seperti samseng jalanan, mabuk, lampu merah dan lain-lain,” katanya.

Azisman berkata beliau berpuas hati dengan prestasi JSPT di seluruh negara dan aktiviti-aktiviti ini dilihat berkurangan secara keseluruhannya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, hampir RM32 juta bayaran saman membabitkan 291,157 saman dikumpul menerusi aplikasi MyBayar Saman dalam tempoh tujuh hari sejak dilancarkan 25 Mac lalu sehingga 31 Mac lalu.

Katanya, sebanyak 487,077 pengguna berdaftar dengan aplikasi itu selain 2,677 aduan emel terkumpul.

“Angka itu menunjukkan menunjukkan aplikasi berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Saya harap usaha ini akan terus disokong orang ramai dengan terus membuat pembayaran melalui aplikasi berkenaan,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *