Bayi 4 Bulan Maut Kemalangan Di Jalan Papar

Bahagian hadapan Perodua Myvi remuk selepas dirempuh pacuan empat roda di Jalan Papar – Beaufort tengah hari tadi. (Gambar IPD Papar)

PAPAR: Seorang bayi lelaki berusia empat bulan maut, manakala ibu bapa serta abangnya cedera, selepas kereta mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda di KM20 Jalan Papar-Beaufort hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.20 tengah hari itu, bayi terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala ahli keluarganya yang lain dikejarkan ke Hospital Papar untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Papar, Batholomew Umpit berkata, siasatan mendapati pacuan empat roda yang dipandu lelaki tempatan berusia 40 tahun itu dalam perjalanan dari arah Papar ke Membakut.

“Sebaik tiba di lokasi, kenderaan terbabit hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kereta Myvi yang datang dari arah Beaufort ke Papar.

“Kereta terbabit dipandu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun, manakala penumpangnya ialah isteri serta anak lelaki masing-masing berusia lima tahun dan empat bulan,” katanya ketika dihubungi.

Batholomew berkata, akibat rempuhan itu, Perodua Myvi terbabit mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

Katanya, pemandu pacuan empat roda itu mengalami kecederaan ringan, iaitu sakit di bahagian dada.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *