Sabah Fokus Lahirkan Generasi Baharu James Wong, Hassan Sani, Matlan Marjan

Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Seri Bung Moktar Radin menyerahkan jersi kepada wakil SAFA Beaufort, Lokman Sunggim (kanan) pada majlis penyerahan jersi, bola dan peralatan pertandingan sempena kejohanan piala Datuk Seri Bung Moktar Radin di sini hari ini.

KOTA KINABALU, 25 Mac : Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) memberi fokus untuk melahirkan generasi baharu pemain bola sepak berprestasi tinggi seperti pemain legenda Datuk James Wong, Datuk Hassan Sani dan Matlan Marjan.

Pemangku Presiden SAFA Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata Sabah mempunyai barisan pemain yang baik pada masa ini namun berpendapat masih kekurangan daripada segi tahap kemahiran dan cara permainan yang dimiliki tiga legenda The Rhinos itu.

Justeru, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata SAFA akan melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan bola sepak peringkat akar umbi bagi membangunkan pemain muda yang juga anak Sabah dan mencungkil bakat mereka untuk diketengahkan sebagai pemain skuad Sabah FC.

“Pemain bola sepak ini sama seperti ahli politik juga, kena ada pelapis untuk menggantikan pemain (lama) yang sudah penat…jika tidak kita akan jadi terlalu bergantung kepada pemain dari luar, sama ada luar Sabah atau pemain import.

“Kita mahu letak harapan kepada muka baharu tetapi sekarang susah hendak cari pemain berkemahiran seperti pemain dahulu, rajin turun ke bawah (bantu pertahanan) dan capai tahap antarabangsa seperti James Wong, Hassan Sani dan Matlan Marjan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan jersi, bola dan peralatan untuk Pertandingan Piala YB Dato’ Sri Bung Moktar Radin di sini, iaitu pertandingan bawah 18 tahun yang disertai 33 pasukan melibatkan lapan zon di Sabah.

Wong dan Hassan adalah dua penyerang berbisa yang dikenali sekitar tahun 70-an dan 80-an, pernah mewakili Malaysia ketika skuad legenda Harimau Malaya itu melayakkan diri ke Sukan Olimpik Moscow 1980 selepas menewaskan Korea Selatan 2-1.

Matlan pula dikenali peminat bola sepak Malaysia sekitar 80-an dan 90-an, malah penyerang itu pernah menjaringkan dua gol ketika mewakili Malaysia menentang England A pada 12 Jun 1991 yang berkesudahan Harimau Malaya tewas 2-4.

Bung Moktar berkata bagi membangunkan pemain muda Sabah secara lebih berkesan, SAFA juga akan mengurus sendiri pasukan bawah 22 tahun (B-22) Piala Presiden dan bawah 19 tahun (B-19) Piala Belia untuk skuad Sabah FC.

“Kita juga mengadakan pelbagai pertandingan seperti Piala Presiden, Piala Ketua Menteri, Piala Antara Kelab dan Piala Wanita. Selain itu kita juga fokus bangunkan bola sepak wanita, pasukan futsal dan bola sepak pantai dan kita ada program sendiri,” katanya.

Mengulas mengenai Piala YB Dato’ Sri Bung Moktar Radin, beliau berkata pertandingan itu akan diadakan pada 2 hingga 4 Apr secara liga di lapan zon sebelum pemenang akan bermain di peringkat negeri pada tarikh yang ditentukan kemudian.

“Pertandingan ini juga adalah ruang bagi pemain muda kita menunjukkan bakat dan memberi pendedahan kepada mereka, saya ingin melihat bakat anak-anak Sabah di serata negeri supaya kita boleh gilap mereka dan suatu hari nanti bermain untuk Sabah FC juga negara,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *