Bunuh Rakan Serumah Kerana Masalah Air

Mangs ditetak di bahagian pinggang sebelum meninggal duia. – Foto yang tular di media sosial.

KINABATANGAN: Hanya kerana masalah bekalan air, dua rakan serumah bergaduh sehingga seorang daripada mereka terbunuh di Ladang Malangking, dekat sini, kelmarin.

Kejadian 5.30 petang itu dilaporkan membabitkan dua pekerja ladang berusia dalam lingkungan 30-an.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, dua lelaki itu bergaduh dalam rumah pekerja di ladang berkenaan.

Menurutnya, mangsa ditetak oleh suspek di bahagian pinggang menggunakan sebilah parang sehingga parah.

“Beberapa penduduk sekitar menyedari kejadian selepas mangsa berlari keluar daripada rumah dalam keadaan berlumuran darah.

“Ada saksi melihat suspek melarikan diri dari pintu belakang rumah, namun tidak ada berani menahannya kerana suspek memegang sebilah parang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dikejarkan ke Hospital Kinabatangan oleh pekerja ladang, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia pada 10 malam.

Katanya, sebelum meninggal dunia, mangsa sempat menceritakan kejadian kepada seorang saksi yang membawa mangsa ke hospital.

“Punca kejadian pergaduhan berlaku disebabkan salah faham suspek dengan mangsa berkaitan penggunaan air di rumah.

“Mangsa dilaporkan sering membazir air. Isu ini timbul kerana kawasan perumahan itu sering mengalami masalah bekalan air,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut juga mendapati suspek dan mangsa tinggal bersama dan bekerja lebih kurang lima bulan di ladang berkenaan.

“Namun, setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan. Operasi mengesan suspek sedang giat dijalankan dengan dibantu oleh Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

“Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Richarles Edward ditalian 089-561890 atau 014-3217050 untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *