Op Mabuk: Polis Tahan Dua Individu & 23 Saman Dikeluarkan

PENAMPANG: Polis Penampang menahan dua individu yang didapati memandu dalam keadaan mabuk dalam Op Mabuk yang dilaksana Bahagian Siasatan & Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Penampang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang Mohd Haris Ibrahim menerusi laman rasmi Facebook IPD Penampang memaklumkan, 23 saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 50 buah kenderaan.

Operasi tersebut dilaksanakan di kedua-dua arah Jalan Penampang-Kota Kinabalu berhadapan SMK Bahang, Penampang bermula tengah malam semalam hingga awal pagi tadi.

Beliau berkata, operasi itu adalah kesinambungan Op Mabuk yang dijalankan bagi mencegah dan membanteras pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang dibawah pengaruh alkohol.

Dua pemandu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.

Jika disabit kesalahan, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM30,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun.

Tambahnya, operasi sebegitu akan dilaksanakan secara berterusan demi keselamatan pengguna jalan raya khususnya bagi daerah Penampang. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *