KDN Putuskan Usir PATI Di Sabah

Hamzah (kiri) dan Hajiji (kanan) berbincang ketika kunjungan hormat di Pejabat Ketua Menteri- Foto KDN

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama-sama dengan kerajaan Sabah memutuskan untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi termasuk mengusir warga asing yang memasuki negeri berkenaan secara haram.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya dimaklumkan berdasarkan rekod dari tahun 1990 hingga Mac tahun ini, seramai lebih 600,000 pendatang tanpa izin (Pati) terutamanya dari Filipina dan Indonesia diusir keluar dari Sabah.

Katanya, jumlah terbabit termasuk hampir 7,000 Pati yang diusir sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan Sabah baharu dibawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diketuai Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

“Kerajaan negeri menegaskan bahawa semua warga asing yang berhasrat untuk berada di negeri Sabah perlu melalui proses imigresen yang sah dan mematuhi lunas perundangan ditetapkan.

“Dokumen perjalanan warga asing yang sah adalah amat penting pada ketika ini bagi menjayakan inisiatif kerajaan mengekang pandemik Covid-19 melalui pemberian suntikan vaksinasi kepada semua pihak, termasuk warga asing yang terbabit dalam sektor ekonomi.

“Bagi memperkasakan kawalan keselamatan sempadan, kerajaan Sabah juga meluluskan peruntukkan khas sebanyak RM500,000 bagi memantapkan pengoperasian di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) selepas lawatan Ketua Menteri Sabah baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini selepas kunjungan hormat beliau kepada Hajiji di Pejabat Ketua Menteri, di sini, hari ini.

Menurutnya, kunjungan hormat terbabit adalah bagi membincangkan isu keselamatan dalam negeri dan kedaulatan negeri Sabah, terutamanya berhubung masalah Pati di Sabah.

Dalam pada itu, Hamzah turut berkata kementeriannya melalui semua agensi serta jabatan dibawahnya akan terus memperkasakan aset keselamatan negara serta dasar kerajaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keamanan dankeselamatan Sabah terjamin. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *