Wabak Demam Babi Afrika Menular Ke Enam Daerah Lain Di Sabah

KOTA KINABALU: Penularan virus Demam Babi Afrika (ASF) ke enam daerah lain di Sabah menyebabkan daerah terlibat akan turut diisytiharkan sebagai kawasan wabak ASF.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, virus ASF yang mula dikesan dalam kalangan babi peliharaan di Pitas dan Kota Marudu, kini telah merebak ke kawasan Lahad Datu, Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Telupid.

Ini termasuk kes kematian babi hutan di sebuah resort di Kinabatangan yang tular di media sosial pada minggu lepas.

Oleh itu, kerajaan akan mengisytiharkan daerah-daerah terbabit sebagai kawasan wabak selaras dengan Enakmen Haiwan 2015. Pengisytiharan ini akan dibuat mengikut daerah dan pengurusan pejabat daerah bagi membolehkan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) melaksana langkah kawalan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

Seiring dengan itu, kerajaan negeri juga akan mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Krisis Penyakit ASF yang akan dipengerusikan oleh Pengarah JPH Sabah.

Menteri Pertanian dan Perikanan ini berkata, jawatankuasa ini akan mencadangkan polisi berkaitan bagi mengawal serta menghentikan penularan virus ASF secepat mungkin.

Jawatankuasa itu akan melibatkan pasukan keselamatan Jabatan Hidupan Liar (JHL), wakil Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, wakil Pejabat Peguam Besar Negeri dan agensi berkaitan.

Dalam pada itu, Jeffrey memberi jaminan bahawa ladang ternakan babi di Tawau, Sandakan, Tenom, Papar, Tuaran dan Penampang yang membekalkan kebanyakan produk daging babi di Sabah tidak dijangkiti virus ini.

“Untuk itu, kita mesti memastikan kawasan ini bebas ASF bagi membolehken pengeluaran daging babi untuk kegunaan tempatan tidak terjejas.

“Walaupun ASF tidak menjangkiti manusia, ia boleh menjejaskan ekonomi dan kehidupan masyarkat. Atas sebab itulah, kita perlu mengawal penularan virus ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jeffrey berkata, babi di daerah diisytihar sebagai kawasan wabak juga akan dilupuskan bermula daripada kawasan virus itu dikesan.

Beliau berkata, JHL Sabah juga akan membantu mengawal penularan virus ASF dalam kalangan babi hutan liar agar tidak menular kepada babi komersial, dengan menghentikan pengeluaran lesen memburu dan melarang penjualan sinalau bakas seperti dinyatakan sebelum ini.

Setakat ini, sebanyak 110 ekor babi di sembilan kampung yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak telah dilupuskan.

JPH juga telah melaksanakan kempen kesedaran di 54 kampung daripada keseluruhan 182 kampung di Pitas.

Setakat semalam, 347 sampel telah diambil daripada beberapa daerah bagi mengesan penularan virus ASF di seluruh Sabah. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *