Ekzos ‘Bising’, Nombor Plat ‘SYA BUAYA’ Antara 13 Motosikal Disita Polis

Sebuah motosikal yang nombor platnya diubahsuai menjadi “SYA BUAYA” antara disita dalam Ops Samseng Jalanan di Kota Belud.

KOTA BELUD: Sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran “SYA BUAYA” selain ekzosnya diubahsuai antara 13 yang disita polis dalam operasi samseng jalanan di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Mohd Zaidi Abdullah berkata, operasi bermula pada 4 hingga 7 Mac itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kota Belud dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah.

“Sebanyak 13 motosikal disita kerana ekzosnya diubahsuai selain beberapa kesalahan lain. Daripada jumlah itu, sebuah motosikal dipercayai dicuri pada 2012.

“Dalam operasi ini juga, sebanyak 23 saman dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi.

Sebanyak 13 motosikal disita polis atas pelbagai kesalahan.

Mohd Zaidi berkata, pemilik yang mahu menuntut semula motosikal yang disita perlu memasang semula ekzos asal terlebih dahulu.

“Pihak kami khususnya BSPT tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik yang mengubahsuai ekzos motosikal mereka sehingga mengeluarkan bunyi bising.

“Saya juga menyeru kepada masyarakat di Kota Belud agar terus memberi kerjasama kepada polis bagi membendung gejala tidak sihat ini terutama golongan belia,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *