COVID-19: Hanya Tinggal Lapan Zon Merah Di Sabah

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah menurun kepada 71 kes berbanding 99 kes semalam, dengan dua kes kematian baharu, hari ini.

Kes kematian masing-masing satu kes dilaporkan di Kota Kinabalu dan Keningau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, hari ini Beluran berubah dari zon jingga kepada zon kuning, Kinabatangan berubah dari zon merah kepada zon jingga manakala, Putatan berubah dari zon kuning kepada zon jingga.

Setakat ini, lapan daerah berada dalam zon merah, lapan daerah dalam zon jingga, 10 daerah dalam zon kuning dan satu daerah iaitu Tongod dalam zon hijau.

Beliau berkata, daripada 71 kes baharu hari ini, Nabawan mencatatkan kes tertinggi dengan 19 kes, diikuti dengan Kota Kinabalu (10), Penampang (7), Putatan (7), Keningau (6), Ranau (5), Kalabakan (4), Kudat (4), Tawau (2), Kota Belud (2) dan satu kes masing-masing di Sandakan, Tenom, Beluran, Kunak dan Pitas.

Menurutnya, daripada 71 kes positif itu, sebanyak 34 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala tiga kes, saringan kluster sedia ada 26 kes dan lapan kes adalah dari lain-lain kategori.

Kes pulih yang dilaporkan hari ini sebanyak 129 kes dengan bilangan kumulatif 52,290 kes. Manakala, kematian di Sabah meningkat kepada 379 kes.

Setakat ini, sebanyak 53,557 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 594 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 220 orang di hospital dan 372 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta dua orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

Terdapat 25 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 11 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah 5,001 katil dan peratus penggunaan adalah 11.88 peratus.

Sementara itu, penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di Sabah mendapati terdapat tiga kompaun dikeluarkan atas kesalahan tiada penjarakan sosial dengan dua kompaun di Kota Kinabalu dan satu kompaun dikeluarkan di Papar kerama tidak mengimbas QR Code dan mencatit nama secara manual.

Pemeriksaan di kawasan perairan Sabah pula mendapati tiga tangkapan dilakukan di bawah Akta Kastam 1967, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *