Bila Bangunan Baharu Hospital Tawau Akan Siap? JKR Perlu Jelaskan

TAWAU: Apa sudah jadi dengan pembinaan bangunan baharu Hospital Tawau yang bernilai RM223 juta ketika projek itu dilancarkan pada tahun 2017?

Itu persoalan dilontarkan Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana projek kemudahan asas rakyat itu.

Ghazalie berkata, projek tersebut sepatutnya siap pada Mei 2020, namun gagal menyebabkan kerajaan memberi lanjutan tempoh sehingga April ini kepada kontraktor terlibat tetapi berdasarkan perkembangan semasa, rakyat Tawau nampaknya perlu menunggu lebih lama lagi.

“JKR perlu bertanggungjawab menjelaskan punca kelewatan tersebut dan mengambil apa sahaja langkah yang perlu untuk menyegerakan penyiapan banguan itu demi kemudahan kesihatan rakyat Tawau.

“Bangunan baharu itu sepatutnya menaik taraf kemudahan sedia ada Hospital Tawau dan mengurangkan kesesakan kerana pelbagai kemudahan tambahan dibuat di situ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ghazalie berkata, mengikut perancangan, bangunan baharu itu akan dilengkapi dengan 154 katil termasuk 10 katil unit rawatan rapi (ICU), 30 tambahan mesin dialisis serta enam bilik bedah.

Tegasnya, ketika ini jumlah pesakit di Hospital Tawau sudah berada di tahap maksimum sejak beberapa tahun lalu menyebabkan projek itu dinaik taraf tetapi tiada tanda-tanda penyiapannya akan disegerakan.

“Saya menerima laporan bahawa pesakit dialisis yang paling terkesan kerana kemudahan mesin dialisis di bangunan lama tidak mencukupi, justeru penambahan 30 unit di banguan baharu itu sepatutnya memberikan harapan kepada mereka yang berada dalam senarai menunggu.

“JKR sepatutnya tahu masalah ini dan mendesak kontraktor melakukan kerja-kerja dengan berkesan bukannya berlembut sehingga akhirnya rakyat Tawau yang menderita,” tegasnya.

Tambahnya, dalam keadaan pandemik Covid-19 yang melanda sekarang, bangunan baharu itu sepatutnya mampu meningkatkan keupayaan pihak hospital untuk merawat pesakit.

“Rakyat Tawau tidak boleh menunggu lebih lama lagi sebelum bangunan baharu itu disiapkan kerana kemudahan kesihatan yang terbaik adalah perkara asas yang perlu disediakan kerajaan.

“Tiada guna kita mendengar keluh kesah rakyat, melancarkan projek bernilai ratusan juta ringgit tetapi gagal disiapkan mengikut tempoh ditetapkan,” tegas Ghazalie.

Pada masa sama, Ghazalie turut mempersoalkan langkah-langkah yang telah diambil JKR untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang melanda beberapa penempatan di Tawau yang telah berlarutan selama beberapa tahun.

“Bandar Seri Indah (BSI) contohnya dibangunkan sebagai mercu tanda baharu Tawau tetapi pembangunan yang ada tidak selari dengan kemudahan bekalan air, malah bekalan selalu terputus dan jika ada, tekanan air terlalu rendah.

“Masalah air menyebabkan BSI menjadi bandar yang sunyi dan tiada kerancakkan ekonomi di situ disebabkan orang ramai tidak mahu tinggal di kawasan yang tiada bekalan air bersih,” tambahnya. BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *