Virus Demam Babi Afrika Merebak Ke Daerah Lain Di Sabah

Sebanyak 110 babi daripada sembilan kampung di Sabah yang dikesan mempunyai virus itu dimusnahkan setakat ini.

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian dan Perikanan Jeffrey Kitingan berkata, virus demam babi Afrika (ASF) yang sebelum ini dikesan di Pitas kini merebak ke daerah lain.

Katanya, virus itu dikesan menjangkiti babi dan babi hutan di sekitar Lahad Datu, Sandakan, Kinabatangan, Beluran dan Telupid.

“Ini termasuk kes kematian babi hutan di sebuah resort di Kinabatangan yang menjadi tular di media sosial minggu lalu,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Kitingan berkata ladang babi komersial yang ada di Tawau, Sandakan, Tenom, Papar, Tuaran dan Penampang yang merupakan antara penyumbang terbesar produk babi di Sabah masih bebas daripada wabak itu.

“Kita harus pastikan kawasan berkenaan terus bebas daripada jangkitan penyakit itu agar pengeluaran produk babi untuk pasaran tempatan tidak terjejas.

“Walaupun virus ASF tidak boleh menjangkiti manusia namun ia boleh mengakibatkan ekonomi terjejas teruk seterusnya menjejaskan masyarakat.

“Sehubungan itu, adalah penting bagi kita mengawal dan menghapuskan penyakit ini,” katanya.

Beliau yang juga timbalan ketua menteri berkata, kerajaan akan mengisytiharkan kawasan yang terjejas sebagai kawasan wabak ASF mengikut Enakmen Haiwan 2015.

Katanya, pengisytiharan itu bermaksud Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) boleh melaksanakan langkah pencegahan yang efektif menerusi jawatankuasa pengurusan bencana daerah.

“Babi yang berada di kawasan mempunyai ASF akan dimusnahkan selain kerja disinfeksi dibuat di kawasan virus terbabit mula dikesan.

“Selain itu, pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) juga terlibat dalam usaha mencegah virus ASF dari babi hutan menular kepada babi komersial dengan membekukan lesen memburu selain menghalang penjualan ‘sinalau bakas’ buat sementara waktu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 110 babi daripada sembilan kampung yang dikesan mempunyai virus itu sudah dimusnahkan.

Selain itu, pihak JPVS mengadakan kempen kesedaran di 54 kampung dari 182 kampung di Pitas. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *