Kereta Api Kota Kinabalu – Papar Beroperasi Esok

Pembukaan semula perkhidmatan kereta api selaras dengan keputusan kerajaan Sabah membenarkan rentas daerah, mengikut zon sejajar pelaksanaan PKPP, bermula kelmarin.

KOTA KINABALU: Jabatan Keretapi Negeri Sabah membuka semula perkhidmatan laluan Kota Kinabalu – Papar, bermula esok.

Perkhidmatan itu beroperasi dua kali setiap hari dengan pergerakan kereta api bermula dari Stesen Kinarut ke Stesen Papar, pada jam 5.36 pagi.

Berdasarkan kenyataan jabatan itu, dari Stesen Papar, perkhidmatan itu kemudian bertolak ke Stesen Sembulan dan Tanjung Aru di ibu negeri, sebelum kembali ke Papar dari Stesen Tanjung Aru pada jam 7.45 pagi.

Perkhidmatan yang sama bertolak semula dari Stesen Papar ke Stesen Sembulan pada jam 12.16 tengah hari, sebelum kembali ke Papar sekali lagi pada jam 5.30 petang, kemudian kembali ke Kinarut pada jam 6.33 petang.

Katanya, jadual perkhidmatan kereta api itu hanya untuk sementara berpandukan jadual asal pergerakan kereta api yang ditetapkan, sebelum ini.

Pembukaan semula perkhidmatan kereta api itu selaras dengan keputusan kerajaan negeri membenarkan rentas daerah, mengikut zon sejajar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bermula kelmarin.

Perkhidmatan kereta api dihentikan sejak Januari lalu, berikutan larangan rentas daerah menerusi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selepas berlaku peningkatan semula kes COVID-19.

Semua stesen yang disinggahi perkhidmatan kereta api mulai esok, berada dalam Zon Satu iaitu di daerah Kota Kinabalu, Papar dan Putatan.

Ini bermakna, perkhidmatan kereta api menghubungkan ibu negeri dengan Beaufort yang berada dalam Zon Dua masih dihentikan.

Jurucakap jabatan itu berkata, perkhidmatan kereta api dalam Zon Dua dan Zon Enam (Tenom) yang menghubungkan beberapa kampung terpencil di kawasan itu, juga beroperasi seperti biasa.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *