Kerajaan Negeri Mahu Hak Hasil Laut Sabah Dikembalikan Semula

KOTA KINABALU: Industri perikanan di negeri ini hanya dapat dibuka semula kepada pelabur selepas Sabah mendapat kembali hak terhadap produk hasil laut dan marin.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan berkata, kerajaan negeri dalam usaha untuk memperoleh semula hak ke atas perairan negeri ini.

Menurutnya, usaha itu perlu dilaksanakan sekarang memandangkan Sabah tidak mempunyai hak untuk mendapat hasil daripada produk marin di negeri ini melainkan produk berkaitan air tawar serta akuakultur.

“Akta Perikanan 1985 memberikan hak kepada kerajaan Persekutuan untuk mengumpulkan hasil daripada produk laut dan ini bermaksud, kita kehilangan pendapatan berjuta-juta ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyambut delegasi daripada Majlis Perniagaan Malaysia China (MCBC) di sini baru-baru ini.

Jeffrey berkata, pada masa ini, jumlah pendapatan yang diperoleh sektor perikanan Sabah sekitar RM800 juta setiap tahun dan ia terus disalurkan kepada kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Menurutnya, situasi berkenaan harus diperbetulkan secepat mungkin agar Sabah dapat hak untuk mengawal semula industri perikanan termasuk pengeluaran lesen.

Dalam pada itu katanya, jika Sabah mempunyai hak ke atas perairannya sendiri, kerajaan negeri akan dapat menarik pelabur yang berminat untuk melabur dalam industri perikanan di negeri ini.

“Di sinilah kita memerlukan bantuan daripada MCBC untuk menjadi penghubung bagi eksport hasil Sabah ke pasaran China.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan pelabur yang bersedia berkongsi teknologi mereka untuk membantu meningkatkan industri hiliran di Sabah selain membantu memodenkan industri pertanian di negeri ini,” jelasnya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *