Kluster Baharu Sabah Berpunca Dari Sambutan Perayaan Di Keningau

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan satu kluster baharu COVID-19 yang berpunca daripada menghadiri tiga majlis perayaan di Keningau.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster baharu terbabit mencatatkan sebanyak tujuh kes positif COVID-19.

“Kluster Kuala Punteh di daerah Keningau mencatatkan penambahan tujuh kes menjadikan jumlah kumulatif positif COVID-9 sebanyak 25 kes.

“Kes indeks dikesan melalui saringan prakemasukan ke hospital di pusat perubatan di Keningau, pada 26 Februari lepas.

“Hasil penelitian, kes indeks mendapat jangkitan daripada ahli keluarga serumah yang menghadiri Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina (11 Februari), sambutan Chap Goh Mei (26 Februari) dan berkumpul sempena menuai padi yang bermula pada 14 Februari lalu.

“Aktiviti saringan kontak rapat masih giat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Keningau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, Sabah hari ini mencatatkan kes sebanyak 97 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 53,313 kes dan tiada sebarang kematian direkodkan.

“Sementara itu, seramai 95 pesakit COVID-19 sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 51,964 orang.

“Sementara itu, seramai 686 pesakit sedang menerima rawatan, iaitu 248 orang di hospital, 431 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan tujuh orang lagi di pusat tahanan sementara (PTS),” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *