Warisan Akan Ambil Tindakan Perundangan

Loretto Padua Jr.

KOTA KINABALU,  3 Mac : Parti Warisan Sabah (Warisan) akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendorong Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Kadzim M Yahya menerima peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Hassan A Gani Pg Amir, sekali gus mengosongkan kerusi itu. 

Setiausaha Agung Warisan Datuk Loretto S Padua berkata pihaknya mempunyai dokumen yang jelas menunjukkan Hassan bersetuju untuk melepaskan jawatan sekiranya beliau meninggalkan parti selain menandatangani surat untuk setia dengan Warisan secara sukarela.

“Dalam surat bertarikh 10 Sept 2020 kepada peguamnya, Hassan mengarahkan mereka meletakkan tarikh dan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada speaker dan ketua negeri (Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin) sekiranya beliau, antara lain, mengisytiharkan diri sebagai wakil Bebas sebelum atau selepas mengangkat sumpah sebagai ADUN. 

“Peguamnya melaksanakan arahan itu susulan pengumuman beliau untuk menjadi wakil Bebas pada 25 Feb 2021 dan surat peletakan jawatan Hassan bertarikh 26 Feb 2021 diserahkan kepada speaker semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada sidang media hari ini, Kadzim mengesahkan Hassan kekal sebagai ADUN Bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). 

Kadzim juga menjelaskan surat peletakan jawatan Hassan yang diserahkan oleh Warisan semalam tidak berkuat kuasa kerana ditandatangani lebih awal serta tidak bertarikh, selain Hassan juga menyerahkan akuan bersumpah menyatakan beliau tidak berhasrat mengosongkan kerusi itu sekalipun telah keluar daripada Warisan.

Mengulas lanjut, Loretto berkata Warisan telah mengeluarkan video memaparkan Hassan melafazkan sumpah setia kepada parti dan akan kekal bersama parti hingga tamat penggal yang dibuat ADUN Sebatik itu semasa dinamakan sebagai calon Warisan untuk kerusi berkenaan.

“Semua calon Warisan membuat ikrar setia kepada parti secara sukarela tanpa sebarang unsur paksaan,” katanya. 

Pada 25 Feb lepas, Hassan mengumumkan beliau memilih untuk menjadi ADUN Bebas yang menyokong GRS serta kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

Pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 yang diadakan September tahun lepas, Hassan memenangi kerusi Sebatik atas tiket Warisan dalam pertembungan tujuh penjuru. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *