Disaman Kerana Ubah Suai Ekzos Motosikal

Pemilik  motosikal dikompaun oleh JAS dalam operasi khas di Kota Kinabalu.- Gambar Juwan Riduan.

KOTA KINABALU: Ubah suai ekzos adalah saman terbanyak dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah dalam operasi khas di Kilometer 17 Jalan Papar-Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Operasi dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (Jas) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bermula jam 10 pagi itu turut mengeluarkan 20 saman membabitkan kesalahan ubah suai nombor plat kenderaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPK Sabah, Superintendan Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, sepanjang operasi selama lima jam itu, sebanyak 389 pelbagai jenis kenderaan diperiksa.

Katanya, 26 saman dikeluarkan atas kesalahan ubah suai ekzos membabitkan 22 kereta dan empat motosikal.

“Keseluruhannya sebanyak 76 saman dikeluarkan termasuk lapan saman tayar botak, enam lesen tamat tempoh dan empat atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar.

“Selain itu, saman lain yang dikeluarkan adalah kesalahan lampu brek, cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu, kesalahan aksesori dan menukar warna kenderaan,” katanya di sini, hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, dalam operasi itu, JPJ turut mengeluarkan sebanyak 33 saman membabitkan pelbagai kesalahan dan memberi notis arah periksa kepada 29 kenderaan.

Selain itu katanya, JAS pula mengeluarkan dua saman mengikut Perkara 4 (2) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987.

“Operasi khas kesalahan bunyi bising ini dijalankan secara bersepadu bertujuan khusus untuk mengesan kesalahan ubah suai ekzos serta kesalahan trafik lain.

“Ia memberi tumpuan kepada semua jenis kenderaan dan operasi ini akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi sepenuhnya undang-undang serta peraturan jalan raya,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *