COVID-19: 13 Daerah Di Sabah Kini Zon Kuning, Satu Hijau

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah meningkat kepada 95 kes, iaitu peningkatan 41 kes berbanding semalam serta satu kes kematian.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kes kematian hari ini dilaporkan di Putatan.

Beliau berkata, daripada 95 kes baharu hari ini, Keningau mencatatkan kes tertinggi dengan 31 kes, diikuti dengan Kalabakan (17), Kota Kinabalu (11), Papar (8) dan lima kes di Nabawan, Sandakan, Tawau dan Kunak.

Manakala, tiga kes di Beluran, dua kes di Putatan serta satu kes masing-masing di Penampang, Lahad Datu dan Semporna.

Hari ini, 14 daerah tidak mencatatkan sebarang kes positif baharu. Manakala, Papar berubah dari zon kuning kepada zon jingga sementara, Beluran bertukar dari zon jingga kepada zon kuning.

Daerah yang berada dalam zon merah berkurang kepada 11 daerah, dua daerah dalam zon jingga, 13 daerah dalam zon kuning dan satu daerah iaitu Tongod berada dalam zon hijau.

Menurutnya, daripada 95 kes positif itu, sebanyak 61 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala enam kes, saringan kluster sedia ada 20 kes dan lapan kes adalah dari lain-lain kategori.

Kes pulih yang dilaporkan hari ini sebanyak 94 kes dengan bilangan kumulatif 51,615 kes. Manakala, kematian di Sabah meningkat kepada 376 kes.

Setakat ini, sebanyak 53,138 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 690 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 253 orang di hospital dan 430 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta tujuh orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

Terdapat 31 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 13 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah 5,008 katil dan peratus penggunaan adalah 13.78 peratus. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *