Amri Yahyah Sandaran Utama Sabah FC

Amri ketika sesi latihan sebelum bertemu Melaka United. – Gambar Facebook Sabah Football Association

KOTA KINABALU: Ketua pasukan Sabah Football FC (FC), Rawilson Batuil akui kehadiran Amri Yahyah ke dalam pasukan itu banyak membantu mereka dari segi permainan.

Katanya, walaupun berperanan sebagai kapten skuad Badak, dia tetap mempunyai rasa hormat tinggi kepada Amri malah mengharapkan bekas pemain kebangsaan itu menurunkan segala ilmu kepada pemain-pemain muda termasuk dia sendiri.

“Dia seorang pemain yang sangat berpengalaman malah mempunyai nama besar dalam kancah bola sepak negara dan pastinya kami mengharapkan tunjuk ajar beliau.

“Selain itu, kami masih yakin dia masih boleh melakukan impak dalam pasukan walaupun dianggap sudah berusia, dia bekerja keras pada setiap sesi latihan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Rawilson berharap Sabah FC akan dapat mencapai kedudukan lebih baik berbanding musim lalu.

Katanya, dengan kehadiran beberapa muka baharu termasuk pemain import, dia yakin skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto itu mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lain.

“Persiapan kami musim ini juga lebih baik berbanding tahun lalu termasuk dapat mengadakan perlawanan persahabatan dan lagi pun musim lalu kami hanya beraksi 10 perlawanan dalam Liga Super.

“Saya rasa kami mampu membuat lebih baik, saya harap mungkin boleh dapat ‘top 5’, apapun kami janji akan memberi aksi terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya.

Dalam pada itu, Rawilson berkata, dia dan rakan-rakan sudah bersedia untuk bertemu Melaka United di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

Katanya, walaupun mungkin hanya beraksi dengan seorang pemain import, dia akan pastikan semua pemain akan berjuang habis-habisan pada perlawanan itu.

“Mungkin semua pemain tempatan (beraksi menentang Melaka United) dan hanya seorang import iaitu Park (Taesu).

“Apa pun kami akan berjuang habis-habisan dan mudah-mudahan kami akan dapat mencuri mata dari gelanggang lawan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *