Sabah FC Tempang Tanpa 4 Pemain Import

Barisan pemain Sabah FC terus giat jalani latihan. FOTO FB Sabah Football Association

KOTA KINABALU: Sabah Football Club (FC) mungkin bakal beraksi dengan hanya menggunakan seorang pemain import dalam dua aksi pertama Liga Super mereka di gelanggang lawan.

Dua perlawanan itu membabitkan pertemuan dengan Melaka United di Stadium Hang Jebat dan Kedah di Stadium Darul Aman.

Pengurus pasukan, Marzuki Nasir berkata, tiga daripada empat pemain itu kini sudah berada di Malaysia manakala seorang lagi dalam proses untuk masuk ke negara ini.

Katanya, kelewatan membawa masuk mereka adalah disebabkan proses dokumentasi serta peraturan ketat berkaitan Covid-19 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kita yakin pastinya ramai penyokong serta peminat setia Sabah FC tertanya-tanya status empat pemain import baharu bagi menghadapi saingan Liga Super yang akan bermula dalam tempoh terdekat.

“Proses polisi imigresen yang sangat ketat mengenai kemasukan warga asing ke negara ini selain ketiadaan penerbangan juga antara sebab kelewatan mereka sampai ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Marzuki berkata, setakat ini, proses menandatangani kontrak sudah diselesaikan pada awal Februari lalu dan di samping itu, pihak pengurusan Sabah FC sudah memulakan proses dokumentasi sejurus selepas kontrak ditandatangani semua pemain import.

“Saya harap agar empat pemain import Sabah FC iaitu Saddil Ramdani (Indonesia), Sam Johnson (Liberia), Risto Mitrevski (Macedonia) dan Levy Madinda (Gabon) akan dapat beraksi pada 13 Mac depan ketika menentang PJ City FC di Stadium Likas.

“Diharap semua penyokong tetap bersabar serta sentiasa memberikan sokongan padu kepada Sabah FC bagi memastikan prestasi dan fokus pasukan berada pada tahap maksimum,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *