COVID-19: 1,745 Kes Baharu, 7 Kematian Hari Ini

PUTRAJAYA: Sejumlah 1,745 kes positif baharu COVID-19 direkodkan setakat tengah hari ini, menjadikan jumlah kes kumulatif di negara ini meningkat kepada 305,880 kes dengan 24,025 kes aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 1,743 kes membabitkan penularan tempatan, iaitu 1,037 warganegara atau 59.5 peratus dan 706 bukan warganegara, manakala dua jangkitan import membabitkan warga asing.

Beliau berkata, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu 640 kes atau 36.7 peratus dan daripada jumlah itu sebanyak 503 kes atau 78.6 peratus adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Katanya, ia diikuti Johor sebanyak 376 kes atau 21.5 peratus dan Sarawak sebanyak 139 kes (8.0 peratus).

Sebanyak 47 kes atau 2.7 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster di penjara yang membabitkan Kluster Telok Mas dengan 20 kes, Kluster Tembok Pengkalan Chepa (13), Kluster Damai Pelangi (13) dan Kluster Penjara Jalan Sungai Jelok satu kes.

“Seramai 195 pesakit COVID-19 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 95 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak tujuh kematian direkodkan menjadikan jumlah kematian membabitkan COVID-19 di negara ini sebanyak 1,148 atau 0.38 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan setakat ini.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *