Aktiviti Rentas Daerah Di Sabah Dibenarkan Mengikut Zon

Datuk Seri Panglima Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Aktiviti rentas sempadan dilonggarkan mengikut zon bagi memudahkan pergerakan orang ramai sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Jumaat (5 Mac) ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, aktiviti rentas sempadan ini dibenarkan mengikut zon kecuali daerah Nabawan yang kini dibawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, pergerakan hanya dibenarkan dalam kawasan zon yang ditetapkan. Pergerakan antara satu zon ke zon lain tidak dibenarkan sepanjang PKPP yang berkuatkuasa dari 5 hingga 18 Mac ini.

Beliau berkata, aktiviti rentas sempadan ini diubah suai dengan memasukkan daerah tertentu mengikut enam zon  yang ditetapkan.

Daerah dalam Zon Satu (Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar), Zon Dua meliputi Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang; ZON Tiga (Kudat, Kota Marudu dan Pitas); ZON Empat adalah Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod; ZON Lima adalah Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan; serta ZON Enam (Keningau, Tambunan dan Tenom).

Masidi berkata, pengubahsuaian ini dilakukan setelah mengambil kira ramai antara penduduk di daerah seperti Tuaran dan Papar yang bekerja di Kota Kinabalu. Jadi, bermula Jumaat ini, mereka tidak perlu lagi melalui sekatan jalan raya untuk ke tempat kerja.

“Kita juga turut memasukkan Ranau dalam Zon Satu kerana kita melihat aktiviti ekonomi tidak dapat dijalankan sebab adanya sekatan perjalanan antara daerah.

“Harapan saya dengan memasukkan daerah Ranau ke Zon Satu sedikit sebanyak membantu memulakan aktiviti pelancongan seperti yang dibenarkan. Ini bermakna orang yang tinggal di Kota Kinabalu boleh ke Gunung Kinabalu dan Kundasang tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, hari ini.

Menurutnya, aktiviti rentas daerah tertakluk kepada data saintifik dan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

Katanya, jika dilihat Sarawak juga masih belum membenarkan aktiviti rentas daerah. Faktor lain yang diambil kira bagi mengekalkan larangan rentas daerah termasuk saiz daerah di Sabah yang besar berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

“Ada yang bertanya kenapa di Semenanjung boleh, di Sabah tidak. Kita kena lihat negeri di Semenanjung sama besar dengan daerah kita.

“Misalnya, Melaka sama besar dengan daerah Ranau dan Pahang sama besar dengan Kinabatangan. Ia bukan perbandingan yang sama kerana ada faktor lain yang kita kena ambil kira,” ujarnya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *