Zon Merah Di Sabah Semakin Kurang

KOTA KINABALU: Daerah dalam zon merah COVID-19 di Sabah semakin berkurangan dengan hanya 11 daripada 27 daerah masih berada dalam zon itu setakat ini.

Ini bermakna majoriti daerah di Sabah sudah berubah ke zon jingga, kuning dan hijau sejajar penurunan kes baharu di kebanyakan daerah di seluruh negeri.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata sebanyak 11 daerah kini berada dalam zon kuning, manakala tiga daerah dalam zon jingga dan dua daerah dalam zon hijau.

“Daerah Papar dan Kota Belud berubah daripada zon merah ke zon jingga, menjadikan tiga daerah dalam zon itu dengan satu lagi ialah Putatan.

“Daerah dalam zon hijau pula kekal dua iaitu Tongod dan Kuala Penyu, manakala zon kuning membabitkan 11 daerah,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan semasa COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Secara keseluruhan, sebanyak 134 kes baharu COVID-19 direkodkan di Sabah semalam, manakala seramai 161 pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh.

Baki seramai 713 pesakit masih menjalani rawatan dan kuarantin, masing-masing 257 di hospital, 448 orang di

Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), manakala lapan orang lagi di Pusat Tahanan Sementara (PTS).

Jumlah pesakit yang masih dirawat mewakili 12.51 peratus penggunaan katil daripada 5,698 katil untuk pesakit COVID-19 di seluruh negeri ketika ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata Nabawan kekal sebagai daerah yang mencatat kes tertinggi semalam dengan sebanyak 43 kes baharu.

“Ia diikuti daerah Kinabatangan sebanyak 19 kes dan daerah Kota Kinabalu serta Tawau yang masing-masing mencatat 14 kes baharu,” katanya.

Nabawan merekodkan peningkatan kes secara mendadak berikutan penularan kes berpunca daripada upacara pengkebumian yang mencetuskan Kluster Sinsingon pada Rabu lalu.

Berikutan peningkatan kes daripada kluster itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sinsingon dan Lotong, Nabawan selama dua minggu bermula kelmarin. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *