WARISAN Akan Serah Surat Perletakan Jawatan ADUN Sebatik Kepada Speaker DUN – Shafie

Shafie Apdal semasa sidang media hari ini.

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) akan menghantar surat perletakan jawatan Hassan A. Gani Pangiran Amir kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, esok bagi mengotakan ikrarnya untuk melepaskan jawatan sebagai ADUN Sebatik jika melompat parti.

Surat berkenaan akan turut diserahkan kepada Yang Dipertua Sabah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perkara tersebut disahkan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam sidang akhbar petang ini.

“Ya kami akan serahkan kepada Yang Dipertua DUN terlebih dahulu dan salinannya kepada SPR serta Yang Dipertua.

“Esok atau lusa,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama semua wakil rakyat WARISAN di pejabat WARISAN Kota Kinabalu hari ini.

Surat peletakan jawatan itu ditandatangani Hassan A. Gani pada 10 September lalu sebelum beliau menerima watikah pelantikan sebagai calon WARISAN bagi kerusi DUN Sebatik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16.

Rakaman video yang menyaksikan Hassan A. Gani berikrar untuk setia kepada WARISAN dan kesediaannya menandatangani surat berkenaan sebagai bukti keikhlasannya turut didedahkan kepada media.

Bagaimanapun, pada 25 Februari lalu, Hassan A. Gani mengingkari ikrar tersebut apabila mengumumkan meninggalkan WARISAN dan menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mohd. Shafie berkata, WARISAN tidak pernah memaksa mana-mana calon parti itu menandatangani surat tersebut sebaliknya mereka melakukannya atas kehendak sendiri untuk menjadi calon.

Tambahnya, surat tersebut ditandatangani di hadapan barisan peguam sebagai saksi.

“Bukan ada paksaan tiada tekanan sebelum dia menjadi YB (yang berhormat) dan semua YB kita minta lafazkan janji mereka selaku parti dan selaku pimpinan bahawa jangan khianati perjuangan ini.

“Bila mereka tandatangan ini merupakan depan peguam kita, kita lantik peguam di depan itu mereka tandatangan ada saksi ada peguam.

“Mereka telah berjanji malahan berjanji atas nama Allah SWT Tuhan kita mana ada paksaan ini,” tegasnya. – TheSabahToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *