Vaksin Pfizer Tiba Di Semporna, 1,397 Frontliner Terima Suntikan Mac Ini

SEMPORNA, 27 Feb : Vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Semporna hari ini dengan 1,397 petugas barisan hadapan akan divaksinasi dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan 2021 di daerah ini, bermula Mac.

Pegawai Kesihatan Daerah Semporna Dr Shameer Khan Sulaiman berkata vaksin itu dihantar dengan diiringi polis melalui jalan darat dari Kota Kinabalu ke Keningau dan Tawau sebelum tiba di Semporna.

“Kumpulan pertama vaksin ini akan disimpan di Klinik Kesihatan Semporna dan seramai 1,397 petugas barisan hadapan akan menerima suntikan vaksin dos pertama pada hujung Mac ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Selain itu, menurutnya dalam perancangan fasa kedua, vaksin berkenaan akan ditempatkan di Klinik Kesihatan Pulau Bum Bum bagi liputan imunisasi kepada penduduk pulau dan sekitarnya.

Sementara itu di Tawau, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Arnold Joibi berkata pihaknya sudah mengenal pasti sembilan lokasi di Tawau termasuk Kalabakan bagi melaksanakan program vaksinasi itu.

“Ini termasuk penyediaan tempat untuk program imunisasi fasa pertama yang akan dilaksanakan Mac nanti,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati rata-rata penduduk Tawau yang ditemui bersedia untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Peniaga Pasar Tanjung, Naterhasan Ibnu, 25, berharap beliau diberikan suntikan vaksin dengan kadar segera sama seperti pasukan barisan hadapan kerana sentiasa berdepan dengan ramai orang di pasar terbesar di daerah itu.

Turut senada,  seorang peniaga sayur, Norazizah Arsyad, 40, menyambut baik program imunisasi dan berharap menjadi antara penerima terawal suntikan vaksin kerana sentiasa berdepan dengan ramai pelanggan.

“Peniaga kecil seperti kami ini, hanya bergantung harap dengan jualan harian, pendapatan kami akan terjejas 100 peratus sekiranya pasar selalu ditutup akibat COVID-19 seperti tahun lepas,” katanya.

Sementara itu, penjual ikan Chong Fui Lan, 52, turut menzahirkan rasa kesyukuran kerana penawar atau vaksin COVID-19 yang selama ini ditunggu-tunggu sudah tiba di negara kita.

“Sebagai peniaga di pasar ikan ini, memang terasa kesannya bukan sahaja penyusutan pendapatan tetapi perlu sentiasa berhati-hati supaya terhindar daripada penyebaran wabak,” katanya.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan 2021 peringkat Sabah akan dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Hajiji Mohd Noor, yang akan menjadi penerima pertama vaksin itu di Sabah pada 4 Mac ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *