Lelaki Maut Sebelum Sempat Masuk Klinik

KOTA KINABALU: Hasrat seorang lelaki warga asing mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Tanjung Aru, di sini, tidak kesampaian apabila dia rebah sebelum disahkan meninggal dunia berhampiran klinik berkenaan, hari ini.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, lelaki berusia 51 tahun terbabit dikatakan mengaku sakit dada dan sukar bernafas sebelum meminta bantuan rakannya untuk menghantarnya ke klinik berkenaan.

Bagaimanapun, ketika sampai berhampiran klinik berkenaan, mangsa dikatakan tiba-tiba rebah dan terus tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan dan terus menghantar sepasukan polis ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, mangsa didapati masih tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Bahagian Kecemasan Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

“Bagaimanapun, ketika mendapatkan rawatan lanjut di hospital berkenaan, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.20 pagi.

“Siasatan awal, mangsa dikatakan tidak pernah mempunyai rekod rawatan dan tidak pernah mengalami sebarang sakit kronik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, setakat ini, punca kematian masih belum dapat diketahui dan mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik HQEI untuk tujuan ujian saringan Covid-19.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *