Empat Hotspot Wabak Denggi Dikesan Di Kota Kinabalu & Tawau

KOTA KINABALU : Empat lagi lokasi hotspot wabak aktif demam denggi dikesan semalam, masing-masing dua di Kota Kinabalu dan dua di Tawau melibatkan 19 kes.

Taman Ridgview Fasa 12 muncul sebagai lokasi hotspot wabak yang merekodkan jumlah tertinggi dengan 10 kes, manakala Taman Kuala Manggatal pula mencatatkan tiga kes.

Sementara Merotai Besar dan Ranggu Saujana di Tawau pula mencatatkan tiga kes di setiap kawasan dengan status kes di keempat-empat lokasi diklasifikasikan terkawal.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Christina Rundi mendedahkan sehingga 25 Februari, sebanyak 261 kes denggi dilaporkan di seluruh negeri dengan lapan kes baharu.

Berdasarkan perkongsian maklumat perkembangan semasa kes itu juga, pertambahan kes baharu melibatkan lima kes di ibu negeri, satu di Semporna dan dua lagi di Keningau.

Kota Kinabalu masih merekodkan bilangan kes denggi tertinggi dengan 82 kes, diikuti Tawau (59), Semporna (26), Sandakan (15), Lahad Datu (14) dan Tuaran (sembilan).

Manakala Putatan pula mencatat lapan kes, Penampang (tujuh), Keningau (tujuh), Papar (enam), Kota Belud (enam), Beluran (tiga), Kudat (tiga) serta Pitas (tiga).

Kunak, Ranau dan Sipitang masing-masing mencatatkan dua kes, namun Kota Marudu dan Kinabatangan yang sebelum ini merekodkan sifar kes kini mempunyai satu kes.

Dua daerah lain yang turut mempunyai senarai daftar satu kes adalah Nabawan serta Tambunan, bagaimanapun Beaufort dan Tenom masih kekal dengan rekod sifar kes.

Dalam perkembangan berasingan, statistik kes wabak kolera di negeri ini dalam tempoh yang serupa pula adalah lapan kes melibatkan simptomatik dan satu asimptomatik.

Terdapat lima kes simptomatik dan satu asimptomatik dikesan di Lahad Datu, satu kes simptomatik di Kota Kinabalu dan satu lagi kes simptomatik diperolehi di Putatan. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *