Sabah Wujud Pasukan Petugas Khas Program Vaksinasi

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) pada mesyuarat libat urus secara sidang video bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, hari ini. – Foto ihsan Pejabat Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mewujudkan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 bagi memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di negeri ini berjalan lancar.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata pasukan yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, adalah antara persediaan bagi menjayakan program itu di Sabah.

Di peringkat daerah dan akar umbi, Hajiji berkata, pelaksanaan program akan dipantau pegawai daerah dan pemimpin masyarakat masing-masing.

“Sabah sudah melaksanakan persediaan yang perlu dan bersedia melaksanakan pemvaksinan,” katanya pada mesyuarat libat urus secara sidang video bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, hari ini.

Hajiji bersetuju dengan Khairy mengenai keperluan mewujudkan unit bergerak bagi memudahkan urusan pemvaksinan dan pendaftaran penerima vaksin di kawasan yang jauh dari pusat vaksin.

Pada masa sama, Hajiji berkata, hebahan maklumat dalam pelbagai bahasa etnik Sabah juga dilaksanakan menerusi Jabatan Penerangan untuk memaklumkan mengenai program imunisasi itu kepada masyarakat akar umbi.

“Vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Sabah hari ini dan disusuli program vaksinasi yang akan dilaksanakan dalam tiga fasa, dengan yang pertama untuk barisan hadapan iaitu seramai 104,130 orang.

“Fasa kedua membabitkan golongan berisiko tinggi (268,000 orang) dan fasa ketiga untuk mereka yang berumur 18 tahun ke atas yang dianggar 2.7 juta orang,” katanya.

Katanya, sebanyak 195 Pusat Pengagihan Vaksin, masing-masing 93 dikendalikan Kementerian Kesihatan dan 102 pusat oleh pihak lain diwujudkan di Sabah.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan rakyat negeri ini mendaftar dalam program itu bagi memudahkan vaksinasi dan memutuskan rantaian jangkitan virus COVID-19.

“Pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera atau laman sesawang www.vaksincovid.gov.my atau secara manual di pusat kesihatan berdekatan seperti hospital, Pejabat Kesihatan Daerah dan klinik kesihatan.

“Setakat ini, hanya 30 peratus warga tua berumur 60 tahun ke atas sudah mendaftar melalui MySejahtera untuk program imunisasi itu di Sabah,” katanya.

Mengenai pemberian vaksin kepada warga asing, Hajiji berkata kerajaan negeri akan bekerjasama dengan majikan pekerja asing untuk melaksanakan program itu.

Beliau mengesahkan akan menjadi penerima pertama vaksin COVID-19 di Sabah apabila program itu bermula.

Tengah hari tadi, sebanyak 16,380 dos vaksin Pfizer-BioNTech tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) untuk fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Sabah. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *