Masidi Wakil Sabah Sambut Ketibaan Vaksin COVID-19

Kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dibawa keluar dari pesawat MAS selepas ia tiba di KLIA pada 21 Februari lalu. Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun, mewakili kerajaan negeri menyambut ketibaan vaksin COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), hari ini.

Turut dijangka hadir menyambut kumpulan pertama vaksin Pfizer BioNTech untuk keperluan negeri ini ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

“Saya mewakili kerajaan negeri menyambut ketibaan vaksin COVID-19 di Terminal 2, KKIA esok (hari ini). Selepas itu saya akan mengadakan sidang media untuk menjawab semua persoalan berkaitan dengan bekalan vaksin untuk negeri ini.

“Kita sedar ramai yang bertanya dan mahu tahu berkaitan vaksin ini termasuk berapa banyak akan diagihkan di Sabah tetapi lebih sesuai maklumat mengenainya didedahkan selepas vaksin sudah tiba di negeri ini,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, malam tadi.

Masidi sebelum ini memaklumkan proses pemberian vaksin kepada penerima fasa pertama di negeri ini akan bermula selepas pelancaran program vaksinasi peringkat negeri dijadual disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada 4 Mac ini.

Katanya, secara keseluruhan Sabah akan menerima tiga kumpulan vaksin untuk keperluan rakyat negeri ini dengan dua kumpulan lagi dijadual menyusul selepas ini.

Bekalan vaksin yang dihantar ke Sabah, katanya dijangka mencukupi untuk menampung keperluan rakyat negeri ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *