Covid-19: Kluster Baharu Di Nabawan Babitkan Pelajar

KOTA KINABALU: Kes positif baharu di Sabah menurun kepada 105 kes dengan satu kematian dan satu kluster baharu dilaporkan hari ini.

Kluster baharu iaitu kluster Sinsingon, Nabawan yang mencatatkan 15 kes baharu hari ini, dengan kumulatif 19 kes positif. Kes indeks bagi kluster ini membabitkan tiga pelajar yang disaring ketika masuk ke asrama pada 22 Feb.

Jangkitan bagi kluster ini dipercayai berpunca sewaktu menghadiri majlis penghormatan kematian keluarga di Kampung Sinsingon, Nabawan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, satu kematian hari ini dilaporkan di Tawau.

Beliau berkata, daripada 105 kes baharu hari ini, Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes tertinggi dengan 24 kes, diikuti dengan Nabawan (19), Keningau (15), Tawau (12), Lahad Datu (12), Kalabakan (7), Tuaran (6) dan dua kes di Sandakan, Putatan dan Tenom.

Sementara itu, satu kes masing-masing di Kota Belud, Penampang, Kinabatangan dan Kudat.

Hari ini, Nabawan bertukar dari zon jingga kepada zon merah sementara, Kudat dan Semporna bertukar dari zon jingga kepada zon kuning. Dengan itu, 11 daerah di Sabah kini dalam zon kuning, dua daerah zon jingga dan 14 daerah dalam zon merah.

Menurutnya, daripada 105 kes positif itu, sebanyak 58 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 16 kes, saringan kluster baharu dan sedia ada 25 kes, saringan Perkeso satu kes, dan lima kes adalah dari lain-lain kategori.

Kes pulih yang dilaporkan hari ini sebanyak 190 kes dengan bilangan kumulatif 50,925 kes. Manakala, kematian di Sabah meningkat kepada 371 kes.

Setakat ini, sebanyak 52,373 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 799 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 300 orang di hospital dan 489 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta 10 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

Terdapat 41 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 13 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah 5,698 katil dan peratus penggunaan adalah 14.02 peratus.

Sepanjang tempoh 24 jam, sebanyak 28,437 kenderaan diperiksa dalam sekatan jalan raya (SJR) yang dilakukan di seluruh Sabah dan 23 buah kenderaan diarah berpatah balik. Manakala, 14 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *