Polis Sabah Akan Kawal Ketat Ketibaan Bekalan Vaksin Covid-19

Hazani Ghazali

KOTA KINABALU: Polis akan memperketat kawalan keselamatan sempena ketibaan bekalan vaksin Covid-19 kumpulan pertama jenis Pfizer-BioNTech yang dijadualkan pada Khamis.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali, berkata ia termasuk kawalan sejurus bekalan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sehingga mengiringi kenderaan yang membawa bekalan vaksin itu ke pusat penyimpanan.

“Polis akan mengiringi kenderaan yang dikhaskan membawa vaksin berkenaan sepanjang perjalanan daripada KKIA menuju ke pusat penyimpanan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) serta beberapa pusat penyimpanan lain sebelum diagihkan apabila tiba hari pemberian suntikan.

“Selain itu, kita juga bakal melakukan penghantaran bekalan vaksin sama ke Labuan pada hari sama sejurus vaksin tiba di Kota Kinabalu dengan penghantaran dijangka menggunakan kapal terbang milik polis,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun, berkata, upacara perasmian vaksinasi Covid-19 peringkat negeri dijadual berlangsung pada 4 Mac depan.

Setakat ini sebanyak 109 buah pusat pemberian vaksin dikenal pasti dan akan terlibat dalam pemberian vaksin di seluruh negeri.

“Jumlah pusat pemberian vaksin ini akan diteliti keperluannya dari semasa ke semasa oleh Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) peringkat daerah masing-masing.

“Vaksin berkenaan akan dihantar ke Sabah sebanyak tiga peringkat dengan peringkat pertama akan tiba pada Khamis.

“Semua rakyat Sabah akan menerima vaksin itu kecuali mereka yang telah dinasihati oleh pihak perubatan seperti kanak-kanak kecil dan ibu mengandung,” katanya.

Terdahulu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata sebanyak 182,520 dos tambahan vaksin Covid-19 akan diedar mulai esok ke negeri-negeri yang belum menerima bekalan.

Vaksin yang dikeluarkan di Belgium itu dijadualkan tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada sebelah pagi dari Singapura. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *