Kota Kinabalu Catat 9 Kes COVID-19, Terendah Sejak Oktober Lalu

KOTA KINABALU: Daerah Kota Kinabalu mencatat kes baharu COVID-19 satu angka semalam, kali pertama direkodkan dalam tempoh enam bulan sejak Oktober lalu.

Dengan hanya sembilan kes positif, Kota Kinabalu berada dalam senarai 17 daerah yang mencatat kes satu angka, manakala hanya dua daerah iaitu Kinabatangan dan Kalabakan mencatat dua angka, masing-masing 30 dan 14 kes.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, menyatakan harapannya agar angka itu dapat dikekalkan atau diturunkan lagi menerusi pematuhan berterusan prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun. – Foto NSTP

“Hanya ada sembilan kes positif COVID-19 dilaporkan di Kota Kinabalu dan kita berharap keadaan ini akan berterusan bukan saja di sini, malah di seluruh negeri,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Kota Kinabalu adalah kawasan yang sering merekodkan kes harian tertinggi, malah pernah mencecah empat angka berikutan penularan gelombang kedua COVID-19 di negeri ini pada tahun lalu.

Sementara itu, sebanyak lapan daerah lagi tidak mencatat sebarang kes, semalam, menunjukkan situasi penularan COVID-19 di Sabah yang semakin pulih.

Daerah dalam zon merah juga terus berkurangan dengan hanya 13 daerah, manakala zon jingga dan kuning masing-masing enam dan lapan daerah.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata walaupun jumlah kes harian meningkat kepada 110 kes semalam berbanding 85 kes kelmarin, situasi keseluruhan bertambah baik.

“Peningkatan kes disebabkan pertambahan kes baharu dari kluster sedia ada di Ladang Sungai Pin Kinabatangan yang mencatat 24 kes baharu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Tanah Merah, Kota Marudu yang bermula hari ini turut menunjukkan penularan COVID-19 membabitkan jumlah yang ramai masih boleh berlaku.

Katanya, PKPD selama dua minggu sehingga 8 Mac depan itu berikutan kes yang tinggi dikesan di kampung terbabit dengan sebanyak 50 kes dilaporkan daripada 226 penduduk yang disaring setakat ini.

Sementara itu, Masidi menjelaskan murid dan pelajar di Sabah yang akan kembali ke sekolah bermula 1 Mac dan April depan tidak diwajibkan menjalani ujian calitan bagi mengesan sama ada mereka positif COVID-19 atau tidak.

“Murid yang akan kembali bersekolah dan ke asrama pada 1 Mac ini tidak perlu lagi menjalani ujian calitan, memadai dengan penilaian risiko saja sebelum memasuki kawasan sekolah.

“Kementerian Pendidikan sudah mengeluarkan Garis Panduan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 bagi mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan murid,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *