Pemandu Teksi, Kereta Sewa Terima RM500 Hari Ini

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan telah membuat bayaran RM500 kepada 20,000 pemandu teksi dan kereta sewa hari ini dalam fasa pertama pembayaran di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, menurut pangkalan data terkini, kira-kira 110,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan kenderaan e-hailing sepenuh masa akan menerima bantuan tunai itu, membabitkan jumlah keseluruhan RM55 juta.

“Untuk fasa pertama, seramai 20,000 pemandu teksi dan kereta sewa menerima bayaran pada hari ini.

“Baki seramai 15,000 lagi akan menerima bantuan itu secara berperingkat selewat-lewatnya pada 15 Mac 2021.

“Manakala, baki 75,000 penerima termasuk pemandu e-hailing, bas sekolah dan bas persiaran akan mula menerima bantuan itu secara berperingkat mulai 26 Februari 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerajaan berharap agar bantuan ini akan membantu golongan berkenaan sementara Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan.

“PICK tentunya melambangkan titik permulaan bagi pemulihan sektor pelancongan dan sektor-sektor lain yang amat terkesan oleh pandemik Covid-19,” katanya.

Sebelum ini, di bawah pakej Permai, kerajaan mengumumkan bantuan kewangan one-off sebanyak RM500 kepada pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing, bagi meringankan beban mereka. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *