Hajiji Penerima Pertama Vaksin COVID-19 Di Sabah

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, dijangka menjadi individu pertama di Sabah diberikan suntikan vaksin COVID-19 selepas pelancaran program Vaksinasi COVID-19 peringkat negeri Sabah yang dijadualkan pada 4 Mac ini.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata walaupun belum ada keputusan rasmi berhubung perkara itu, sudah menjadi kebiasaan sesuatu yang baharu itu akan didahului oleh ketua kerajaan.

Katanya, kumpulan pertama vaksin untuk fasa pertama program vaksinasi negeri ini akan tiba pada 25 Februari ini sebelum disusuli dua lagi kumpulan vaksin akan dihantar kemudian.

“Ketua Menteri dijangka menerima suntikan vaksin COVID-19 selepas perasmian Vaksinasi COVID -19 peringkat Sabah yang dirancang 4 Mac ini.

“Setakat ini, sebanyak 109 pusat pemberian vaksin sudah dikenal pasti dan akan terbabit dalam pemberian vaksin di seluruh negeri.

“Jumlah pusat pemberian vaksin ini akan diteliti keperluannya oleh Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) daerah masing-masing,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, malam ini.

Masidi berkata, belum ada maklumat rasmi mengenai jumlah dos vaksin yang akan dihantar ke Sabah namun dos yang diterima dalam tiga kumpulan dijangka mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat negeri ini.

Mengenai cadangan memberi suntikan vaksin kepada guru dan pelajar pada fasa pertama, Masidi berkata kerajaan negeri menyokong guru berdepan masalah kesihatan diberikan keutamaan.

“Dalam perancangan awal fasa satu program Vaksinasi COVID-19, hanya merangkumi petugas kesihatan barisan hadapan dalam sektor kerajaan dan swasta serta petugas perkhidmatan penting dan pertahanan seperti polis, tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Imigresen.

“Namun begitu, kerajaan Sabah akan membuat pertimbangan teliti terhadap isu pemberian suntikan dalam fasa satu kepada guru mempunyai masalah kesihatan dan faktor risiko lain, selaras dengan pengumuman Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pada 21 Februari lalu,” katanya.

Sementara itu, Hajiji dalam kenyataannya sebelum itu mengalu-alukan ketibaan kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Malaysia yang disifatkannya sebagai amat penting untuk membendung penularan COVID-19.

Hajiji berkata, beliau akan menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 untuk Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 25 Februari ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *