UMNO Bawa Banyak Kebaikan Di Sabah

Bung Moktar ketika berucap pada majlis sambutan Ulang Tahun ke-30 UMNO Sabah di Bangunan UMNO Sabah, Kota Kinabalu. – Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Kemasukan UMNO ke Sabah sejak 30 tahun lalu, termasuk menjadi tunjang kerajaan negeri selama 28 tahun membawa banyak kebaikan kepada negeri itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kehadiran parti nasional itu ke Sabah antara lain mendekatkan lagi hubungan di antara rakyat negeri ini dengan Semenanjung.

Beliau berkata, UMNO memberikan khidmat terbaik kepada rakyat negeri ini dengan tumpuan terhadap aspek pembangunan dan pembaharuan ke arah kemajuan negeri.

“Selama tiga dekad bertapak di Sabah, ia satu tempoh yang panjang. Banyak yang kita lalui termasuk pelbagai rintangan dan semua itu mendewasakan kita (UMNO Sabah).

“Kita mencapai banyak kejayaan walaupun banyak halangan. Selama tempoh 28 tahun menjadi kerajaan di Sabah, ia mendekatkan rakyat negeri ini dengan pemimpin dan rakyat di Semenanjung dengan Sabah serta Sarawak.

“Ia jelas memperlihatkan UMNO berjaya memberikan khidmat terbaik kepada rakyat Sabah dengan fokus dalam aspek pembangunan dan pembaharuan negeri memang sukar dilupakan semua pihak,” katanya pada majlis sambutan Ulang Tahun ke-30 UMNO Sabah, di sini, malam ini.

Ucapan Ahmad Zahid dibuat secara persidangan video dari Kuala Lumpur berikutan kekangan prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Majlis diadakan di Bangunan UMNO Sabah itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor; Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan beberapa pemimpin awal parti itu ketika mula bertapak pada 21 Februari 1991.

Ahmad Zahid berkata, walaupun UMNO kini bukan lagi parti tunjang kerajaan negeri, namun DNA parti itu masih wujud dalam pemimpin yang mengetuai kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Ketua Menteri Sabah ketika ini (Hajiji) ada DNA UMNO. Ketua Menteri Sabah sebelum ini pun (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) ada DNA UMNO walaupun berlainan parti,” katanya.

Beliau berkata, walaupun UMNO kini hanya sebahagian daripada parti yang membentuk kerajaan negeri, ia tidak menjejaskan perjuangan parti itu untuk membela rakyat.

“Apa yang penting ialah rakyat, kita lupakan perbezaan pendapat atau parti. Ia adalah kesungguhan UMNO Sabah untuk menjalin kerjasama dengan semua parti kerana kita berpijak kepada realiti.

“Sebab itulah GRS, walaupun ia sebuah gabungan banyak parti adalah satu acuan yang wajar dialu-alukan dan diterjemahkan. Jangan ada rasa marah kepada rakan, yang penting perjuangan mesti diteruskan,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyatakan keyakinannya sokongan akar umbi UMNO Sabah kekal kukuh dalam memastikan kesinambungan perjuangan UMNO di Sabah.

Sempena majlis itu, Bung Moktar turut menyampaikan penghargaan kepada beberapa pemimpin lama dan bekas pemimpin UMNO Sabah. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *