8 Lelaki Tempatan Ditahan Terlibat Penyalahgunaan Dadah

Lapan lelaki tempatan ditahan selepas terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sekitar daerah Papar.

PAPAR: Polis berjaya menumpaskan lapan individu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata serbuan pertama berjaya menahan empat lelaki tempatan berumur 30 hingga 40 tahun selepas menunjukkan kelakuan mencurigakan dua hari lalu.

“Hasil siasatan mendapati dua daripada suspek memiliki kira-kira 17.78 gram dadah jenis syabu manakala kesemua suspek positif methapetamine dan amphetamine.

“Dalam serbuan kedua empat lagi individu tempatan berumur 20 hingga 40 tahun berjaya ditahan selepas didapati melakukan kesalahan sama di sini.

“Polis turut merampas 6.31 gram syabu dan kesemua suspek turut terlibat dalam aktiviti penagihan dadah selepas ujian air kencing mereka positif syabu,” katanya.

Batholomew berkata suspek memiliki dadah akan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) manakala suspek positif dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua kejayaan tangkapan ini adalah salah satu usaha PDRM, khususnya bagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah, di samping mencegah aktiviti jenayah di daerah ini.

“Saya juga menasihatkan orang ramai yang  mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah di daerah ini agar memaklumkan kepada pihak PDRM iaitu IPD Papar khususnya,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *