Dibebas Pada Usia 83 Tahun

Ligon ini berusia 83 tahun dan dipenjara ketika berusia 15 tahun. FOTO Instagram/@juvenileinjustice, Pennsylvania Department of Corrections

Philadelphia: Seorang lelaki di Pennsylvania, Amerika Syarikat yang sebelum ini dihukum sepanjang hayat atas kesalahan membunuh akhirnya dibebaskan pada usia 83 tahun.

Joseph Ligon sebelum ini menjalani hukuman penjara sebagai pesalah juvana ketika berusia 15 tahun.

Hukuman itu menjadikannya antara banduan tertua di penjara berkenaan.

Dia yang dibebaskan, baru-baru ini dilaporkan terkejut apabila melihat bangunan pencakar langit selepas terkurung selama 68 tahun di sebalik tirai besi.

Lelaki itu dihukum penjara atas kesalahan membunuh selepas terbabit dalam kes rompakan dan serangan di sini.

Dalam kejadian itu, dua lelaki meninggal dunia manakala enam lagi cedera kerana ditikam.

Dia mengaku salah terbabit dalam kejadian rompakan dan serangan, tetapi menafikan membunuh mana-mana mangsa.

Dia kemudian menjalani hukuman itu sejak 1953.

Pada 2016, Mahkamah Agung AS mengurangkan hukuman penjaranya kepada 35 tahun.

Ia selepas mahkamah memutuskan hukuman sepanjang hayat untuk pesalah muda adalah kejam dan luar biasa.

Bagaimanapun, Ligon menolak untuk dibebaskan dengan syarat parol kerana mahu dibebaskan dengan erti kata sebenar tanpa perlu menjalani pengawasan lanjut.

Selepas 68 tahun dipenjara, dia menjadi pesalah juvana tertua di negara itu selepas dibebaskan dari penjara di Phoenix.

Ligon ternyata terkejut dengan perubahan pembangunan di sekelilingnya yang begitu berbeza ketika melangkah masuk ke penjara.

“Saya memandang bangunan tinggi yang sebelum ini tidak wujud. Ini sesuatu yang baru,” katanya.

Sebelum dibebaskan, lelaki terbabit melakukan latihan peralihan bagi memudahkannya menjalani kehidupan selepas dibebaskan. – Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *