Bekas Pemain La Liga Perkuat Sabah FC

Madinda (kiri) pernah beraksi di La Liga selama tujuh tahun.

KOTA KINABALU: Sabah FC bakal diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain import dari Eropah dan Afrika pada aksi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Risto Mitrevski, 29, dari Macedonia Utara dan Levy Madinda, 28, yang berasal dari Gabon menjadi pilihan pengurusan Sabah FC untuk membantu Sabah bersaing dengan pencabar lain.

Nama kedua-dua pemain itu diumumkan dalam laman Facebook rasmi Sabah Football Association, petang ini, selepas senarai pemain import tempatan dan kuota Asia Tenggara diumumkan malam tadi.

Levy Madinda. – Foto Sabah Football Association

Bermain di posisi pertahanan, Mitrevski memulakan karier bola sepak sebagai pemain kelab di negaranya, FK Rabotnichki ketika berumur 13 tahun hingga 18 tahun.

Dia kemudian diserap dalam pasukan utama kelab berkenaan pada 2009 hingga 2011 sebelum beralih ke pasukan Metalburg Skopje yang beraksi dalam liga tertinggi di Macedonia Utara.

Mitrevski kemudian mengembangkan karier dengan mewakili pasukan di negara Eropah yang lain seperti Bosnia, Crotia, Cyprus dan Armenia antara 2014 hingga 2020.

Risto Mitrevski. – Foto Sabah Football Association

Dia juga pernah diikat pasukan dari Israel dan menyumbang kemenangan kepada kelab yang disertainya, Hapoel Haifa dalam Israel Super Cub pada 2017 dan 2018.

Sementara itu, Madinda, walaupun menjadi pemain kebangsaan Gabon, pemain tengah itu banyak mengukir nama di Eropah menerusi kelab Sepanyol yang bermain dalam liga negara itu (La Liga).

Dia bermain selama tujuh tahun bersama pasukan Celta Vigo sebelum berhijrah ke Yunani selama setahun dan seterusnya ke Turki dari 2018 hingga tahun lalu.

Ini adalah penghijrahan pertama kedua-dua pemain bertapak di Eropah itu ke Asia Tenggara dengan memilih untuk menyumbang bakat bersama skuad Sabah FC.

Malam tadi, Sabah FC mengumumkan penyertaan pemain muda berumur 22 tahun dari Indonesia, Saddil Ramdani yang berasal dari Sulawesi Tenggara.

Turut diumumkan menyertai skuad Sabah FC ialah bekas kapten Selangor, Amri Yahyah dan bekas pemain Negeri Sembilan, N Thanabalan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *