Adibah Noor Tawar Diri Ajar Bahasa Inggeris Di DidikTV

Adibah Noor

Pelakon, penyanyi dan pengacara popular Adibah Noor menawar diri untuk mengajar subjek bahasa Inggeris di saluran DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau meluahkan hasrat itu menerusi ciapan di Twitternya pada Rabu sehingga meraih lebih 19,500 tanda suka dari warga maya yang memberi sokongan kepada bekas guru bahasa Inggeris tersebut.

“Saya nak offer (tawar) diri kepada @KemPendidikan, untuk jadi perantara yang ‘mengajar’ bahasa Inggeris di Didiktv, boleh?” ciapnya pantas mendapat ratusan komen dari warga maya.

Dalam ciapan yang sama, Adibah menjelaskan beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda (dengan kepujian) dalam pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu melancarkan saluran khusus TV pendidikan secara terestrial, DidikTV KPM.

Saluran itu yang kali pertama diperkenalkan, mula bersiaran pada Rabu menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI, bermula 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Kementerian Pendidikan melancarkan DidikTV sebagai usaha untuk memberi akses pendidikan kepada semua pelajar di seluruh negara ketika mereka menjalani pembelajaran dalam talian.

Sementara itu, warga maya dikenali Zaza juga menyokong hasrat artis berkenaan.

“Saya sokong. Biar pun apa je orang kutuk, saya sangat berterima kasih kerana banyak yang saya belajar.

“Dari dulu saya selalu ‘follow’ Adibah Noor perbetulkan sebutan yang sepatutnya. Setiap kali ada perkataan baharu dibetulkan, saya akan tunjuk dekat anak-anak saya untuk sama-sama belajar,” ciapnya.

Aiman Mutalib juga bersetuju dengan cadangan pelakon filem Mukhsin itu.

Bagaimanapun kata Aiman, peluang itu boleh juga diberi kepada bakal guru yang masih dalam senarai menunggu.

“Berapa ramai graduan bidang pendidikan yg masih belum dipanggil atau menganggur,” katanya. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *