Terima Kasih Banyak Rakyat Malaysia Yang Pemurah

Remaja penghidap penyakit ketumbuhan di tulang belakang, Mohammad Haikhal Ali Hussin,13, bersama ibunya, Widyaayu Hamdin, 33. FOTO Ihsan Widyaayu Hamdin

PAPAR: “Hanya tuhan yang dapat membalas sumbangan anda semua,” kata Widyaayu Hamdin, 33, ibu kepada Mohammad Haikhal Ali Hussin, 13, yang menghidap penyakit ketumbuhan tulang belakang.

Menurut Widyaayu dia terkejut dan dalam masa sama amat bersyukur apabila mendapati sumbangan kewangan untuk menampung pembedahan anaknya sudah mencukupi hari ini.

“Pagi tadi saya memeriksa akaun bank dan terkejut apabila melihat jumlah mencecah RM73,000. Jumlah itu sudah melebihi daripada RM60,000 yang diperlukan untuk pembedahan Mohammad Haikhal,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kata Widyaayu, Mohammad Haikhal kini menunggu pihak Hospital Queen Elizabeth (HQE) 2 memberi tarikh untuk menjalani pembedahan.

Katanya, dia amat terharu dan berterima kasih kepada semua yang menyalurkan sumbangan bagi membiayai kos pembedahan anak sulungnya itu.

“Saya amat berterima kasih atas sumbangan yang diberikan seluruh rakyat Malaysia yang prihatin terhadap Haikhal.

“Begitu juga dengan orang ramai yang tidak putus-putus mendoakan kesihatan anak saya.

“Saya tidak mampu membalas jasa baik semua yang membantu melainkan hanya Tuhan saja yang mampu membalasnya,” katanya.

Penyakit ketumbuhan tulang belakang atau Intradural-Extramedullary tumor yang dihidapi Mohammad Haikhal yang dikesan tahun lalu itu menyebabkan dia tidak mampu bergerak.

Jumaat lalu portal ini melaporkan kisah Mohammad Haikhal yang memerlukan dana sebanyak RM60,000 bagi membiayai pembedahan.

Akibat penyakit yang dihidapinya, Mohammad Haikhal bukan sahaja tidak dapat berjalan dan terpaksa memakai kerusi roda untuk bergerak, malah terpaksa tidur mencangkung disebabkan sakit di belakangnya.

Mengikut perancangan awal, Mohammad Haikhal dijangka menjalani pembedahan di HQE 2 pada 3 Mac depan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *