Polis KK Gempur Sarang Penagih, 4 Termasuk Wanita Ditahan

KOTA KINABALU: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu berjaya menahan empat individu termasuk seorang wanita dalam serbuan di beberapa sarang penagihan dadah sekitar pusat bandaraya, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam serbuan pada 12.30 tengah hari itu, tujuh individu termasuk seorang wanita diperiksa dan hasil ujian air kencing mendapati tiga lelaki dan seorang wanita positif dadah jenis syabu.

Serbuan dilakukan di kawasan berbukit belakang Bandaran Berjaya, Dewan Masyarakat Kota Kinabalu, Padang Bandaran dan kawasan bawah jambatan coastal serta sekitar Jalan Istana dan Jalan Pinggir.

Kesemua empat suspek yang ditahan itu merupakan warga Malaysia berusia antara 30 hingga 46 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Serbuan ini dilakukan berikutan aduan daripada orang awam yang gusar berikutan kehadiran gelandangan yang terbabit dengan dadah dan menjadikan kawasan berbukit yang terpencil serta kawasan bawah jejambat yang terlindung sebagai sarang penagihan dadah.

“Oleh itu, sepasukan pegawai dan anggota telah diarahkan untuk melakukan serbuan di lokasi yang telah dikenal pasti menjadi sarang penagihan dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memandang serius kegiatan penyalahgunaan dadah di sekitar pusat bandaraya ini.

Tambahnya, kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Keempat-empat suspek direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *