Malaysia Kedudukan Ke-3 Negara Paling Ramai ‘Sugar Daddy’ Di Asia

Gambar Hiasan

NEW DELHI: Malaysia dengan 42,500 ‘sugar daddy’ berada di kedudukan ketiga dalam kalangan negara Asia di belakang Indonesia dengan 60,250 orang.

India mengungguli senarai 10 teratas di Asia dengan 338,000 atau 61 peratus daripada jumlah keseluruhan 556,000 ‘sugar daddy’ di rantau ini, menurut tinjauan oleh laman sesawang temu janji terbesar di dunia, SeekingArrangement.

Firma temu janji itu, dalam satu kenyataan, berkata negara dengan kadar pendidikan tinggi terbukti lebih rentan terhadap aliran ini berikutan pelajar dibebani hutang.

Dikatakan Malaysia mencatat hutang tertunggak pinjaman pelajar sebanyak RM39 bilion pada 2018.

Menurut laporan itu, keputusan yang sama dicatatkan di Korea Selatan dan Jepun, di mana masing-masing mencatat 90 peratus dan 76 peratus dari segi keutamaan terhadap pendidikan tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif SeekingArrangement, Brandon Wade, berkata jurang antara kaya dan miskin di Asia yang semakin melebar dalam dua dekad terakhir mendorong lebih banyak wanita mencari lelaki yang lebih tua atas pelbagai alasan.

“Pentas seperti SeekingArrangement membantu menghubungkan wanita muda dengan lelaki yang lebih kaya atau mewah.

“Mereka bukan sekadar menyelesaikan masalah kewangan wanita terbabit, malah menjadi mentor atau batu loncatan bagi masa depan lebih baik untuk ‘sugar babies’ berkenaan,” katanya.

Wade juga menyatakan bahawa ekonomi Asia yang berkembang pesat turut menarik banyak pelabur asing untuk melebarkan perniagaan mereka di rantau ini.

Justeru, tidak menghairankan Asia menjadi kancah temu janji bagi ‘sugar daddy’ dan ‘sugar baby’ terutama dalam kalangan penduduk bandar.

Selepas Malaysia, Jepun berada di tempat keempat dengan 32,500 ‘sugar daddy’ diikuti Hong Kong di tempat kelima (28,600), Taiwan (27,300), Vietnam (12,000), Korea Selatan (7,000), Sri Lanka (5,000) dan Kemboja (3,500). – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *