Polis Tahan Lelaki Tempatan, Rampas Dadah Bernilai RM300,000

Habibi (tiga dari kiri) bersama Ahmad (dua dari kiri) menunjukan dadah yang dirampas

KOTA KINABALU: Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di sekitar bandar raya ini selepas menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM300,000.

Suspek warga tempatan berusia 35 tahun itu ditahan di kawasan parkir Flat Kepayan Ridge, Jalan Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini, pada jam 4.50 petang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, risikan dan intipan yang dijalankan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menahan suspek di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil soal siasat membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah yang disembunyikan di dalam bonet kenderaan Proton Waja dinaiki suspek.

“Antara dadah yang ditemui iaitu syabu seberat 3,558 gram, ketamin (1,000 gram), serbuk jus (109 paket), ekstasi (746 biji), serbu ekstasi (337 gram), erimin 5 (240 biji) dan 40 batang dadah jenis ‘mushroom’.

“Nilai harga rampasan keseluruhan dadah dianggarkan berjumlah RM280,088 mengikut harga pasaran dadah semasa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Narkotik IPK Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah.

Habibi berkata, semua dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari negeri jiran melalui jalan darat dan kurier untuk diedarkan kepada pengedar di kawasan sekitar bandar raya ini.

Katanya, semua dadah yang dirampas ini turut berupaya memenuhi permintaan hampir 30,000 penagih dalam satu-satu masa.

“Siasatan juga mendapati suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dadah dengan menghantar bekalan dadah kepada pengedar di dalam dan luar daerah ini.

“Siasatan yang dijalankan, suspek mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan ujian saringan air kencing didapati suspek positif katamine,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 Seksyen 39A(2) akta sama. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *