Bantuan Tunai RM300 Sudah Diagih Kepada 46,046 Penerima – Hajiji

PAPAR: Kerajaan negeri sudah membuat pembayaran sejumlah RM13.81juta kepada 46,046 penerima Bantuan Tunai One-off RM300, setakat 7 Feb.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Bantuan Sabah Prihatin Covid-19 2.0 kepada penduduk Sabah yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

“Bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM97 juta membabitkan 323,334 penerima di negeri ini. Pembayaran sudah bermula sejak 29 Januari lalu.

“Kerajaan negeri memberi bantuan 2.0 ini atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan kepada rakyat yang terjejas berikutan pelaksanaan PKP 2.0 akibat penularan pandemik Covid-19,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke daerah Papar hari ini.

Dalam program itu, Hajiji turut menyempurnakan penyampaian Bantuan Tunai ‘One-Off’ dan bakul makanan Covid-19 kepada peneroka kecil ladang getah bertempat di Semaian Kabang, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Kampung Kabang.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sedia maklum bahawa pelaksanaan PKP 2.0 menyebabkan ramai rakyat yang terjejas termasuk tidak dapat meneruskan perniagaan kecil-kecilan selain hilang pekerjaan.

“Justeru, bagi yang tidak  tersenarai sebagai penerima Bantuan Sabah Prihatin 1.0 tetapi turut terjejas akibat pandemik ini, mereka boleh  mengemukakan rayuan (untuk menerima bantuan),” katanya.

Bagi yang tidak tersenarai menerima bantuan tunai one-off, rayuan boleh dikemukakan melalui Pejabat Daerah masing-masing atau menerusi kementerian atau agensi yang menguruskan bantuan berkenaan.

Bagi pemberian bakul makanan, beliau berkata sebanyak 7,547 bakul makanan sudah diagihkan setakat 7 Feb.

Katanya, pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan negeri ini adalah antara inisiatif  dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu berkaitan kesejahteraan rakyat.

“Ini bagi memastikan semua rakyat tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa, tetapi terjejas akibat Covid-19 dan pelaksanaan PKP dibantu oleh kerajaan,” katanya.

Turut hadir adalah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *