102 Sekolah Menegah Di Sabah Catat Jangkitan Kes Covid-19

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Jangkitan Covid-19 telah dikesan di 102 buah sekolah menengah di Sabah bagi tempoh 16 Jan hingga 8 Feb ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, daripada 221 buah sekolah menengah yang dibuka bagi sesi persekolahan tahun ini, 102 sekolah disahkan mempunyai kes Covid-19.

Bagaimanapun, setakat ini hanya lapan sekolah di Sandakan ditutup selama 10 hari bagi kerja-kerja disinfeksi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun

Lapan sekolah ini adalah Sekolah Menengah (SM) ST Mary, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Sapi, SMK Elopura Bestari, SMK Perempuan, SMK Sandakan, Kolej Vokasional Sandakan, SM ST Cecelia dan SMK Agama Tun Juhar.

Beliau berkata, jangkitan Covid-19 di lapan sekolah ini membabitkan jangkitan terhadap empat pelajar dan 14 guru.

Manakala, lima lagi murid dan empat guru dikesan positif Covid-19 di SM ST Michael, Penampang sejak 26 Jan hingga 3 Feb. Kes ini bermula daripada kontak keluarga dan tiada kes positif direkodkan selepas 3 Feb.

Mengenai keperluan penutupan sekolah, Masidi berkata, penutupan sekolah susulan jangkitan Covid-19 akan dilakukan berdasarkan penelitian dan penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Sekiranya terdapat bukti menunjukkan penularan virus menyebabkan terjadinya kluster di sekolah, pegawai kesihatan daerah akan membuat keputusan untuk menutup sekolah selama 10 hari untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, hari ini.

Katanya, jika pengesanan kes dilakukan lebih awal sebelum wujudnya kluster maka, kontak-kontak rapat akan disaring dan diasingkan untuk dikuarantin.

Aktiviti persekolahan boleh diteruskan dengan pengamalan SOP yang ketat dan pemantauan gejala dalam kalangan pelajar dan guru. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *