Kami Keluar Beli Barang Bukan ‘Jalan-Jalan’, Kata Penduduk Pedalaman Sabah Selepas Dikompaun RM1,000

Irip Pang berkata tujuan dia mengikuti perjalanan itu untuk membeli barang keperluan cucunya yang masih kecil dan berstatus OKU.

KOTA KINABALU: Hasrat sekumpulan penduduk keluar membeli bekalan makanan dan ubat-ubatan di pekan Tenom bukan saja tidak kesampaian malah mereka dikenakan kompaun RM1,000 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dalam kejadian 27 Jan lalu, lapan penduduk termasuk warga emas dari beberapa kampung ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Tenom untuk dikeluarkan kompaun kerana bas dinaiki mereka melebihi kapasiti 50% penumpang seperti ditetapkan.

Bagaimanapun, beberapa penduduk ditemui menyatakan kesedihan kerana kesalahan itu bukan disengajakan, lebih-lebih lagi jarak kampung mereka yang agak jauh dari pekan Tenom dan sukar berulang-alik semata-mata untuk membeli barang keperluan.

Buriat Alipan berkata kompaun dikenakan terhadapnya sangat membebankan kerana dia orang susah.

Seorang penduduk Irip Pang berkata, tujuan dia mengikuti perjalanan itu untuk membeli barang keperluan cucunya yang masih kecil dan berstatus orang kurang upaya (OKU).

“Bukan saya turun untuk jalan-jalan, saya mahu membeli (barang keperluan) untuk cucu saya, susu dengan lampin pakai buang, tiada yang menjaga dia (cucu) sebab ibu dia sudah meninggal dunia, suami saya pun sudah terlalu berusia dan tidak mampu keluar.

Seorang lagi penduduk Buriat Alipan berkata, dia terpaksa ke pekan pada hari itu kerana mahu membeli ubat kakinya yang sakit selain bekalan makanan.

“Mereka (polis) beritahu PKP, tetapi macam mana saya tidak turun (ke Pekan Tenom), saya mahu beli ubat kerana kaki saya pun sakit, sampai sekarang sakit sebab itu saya terpaksa pergi ke pekan.

“Kami orang kampung, orang susah, bukan kami sengaja melakukan kesalahan itu, bukan keluar untuk suka-suka,” katanya.

Pemandu bas Ruil Taligi berkata penduduk di kampungnya dan kampung berhampiran tidak selalu dapat keluar ke pekan Tenom untuk membeli barang keperluan.

Sementara itu, pemandu bas Ruil Taligi berkata dia pada mulanya tidak mahu membenarkan bas berkenaan dinaiki lapan penduduk kampung terbabit kerana sudah melebihi kapasiti asal.

Katanya, bagaimanapun dia kasihan dengan penduduk kerana ada dalam kalangan mereka yang benar-benar perlu ke pekan untuk membeli barang keperluan.

“Polis memberitahu saya yang telah lebih muatan (penumpang bas), saya sudah beritahu mereka (penumpang) tetapi mereka mahu ikut juga dan saya kasihan kerana mereka bukan selalu dapat keluar untuk membeli barang keperluan.

“Saya merayu kepada polis yang bertugas dalam sekatan jalan raya itu, kalau boleh beri amaran dulu atau saman saya seorang saja, bukannya mereka (penumpang) kerana mereka golongan susah yang hanya mahu keluar membeli barang keperluan, bagaimanapun anggota itu tetap mengarahkan kami pergi ke IPD (Tenom),” katanya.

FMT sedang mendapatkan reaksi pihak berkaitan termasuk polis berhubung perkara itu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *